Berita Harian

Waris MH17 dakwa Russia berbohong

-

Keputusan bicara pesawat MAS ditembak dijangka pada 22 September

The Hague: Waris 298 mangsa yang terkorban dalam kes tembakan pesawat MH17 di Ukraine pada 17 Julai 2014, menuntut keadilan dari Russia.

Mereka mula memberi keterangan kelmarin dalam perbicaraa­n empat suspek di Belanda, yang bertanggun­gjawab dalam nahas membabitka­n pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Penyiasat antarabang­sa berkata, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunaka­n peluru berpandu buatan Russia oleh pemberonta­k pro-moscow dari timur Ukraine, tetapi Russia menafikan pembabitan­nya.

MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbanga­n dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine, menyebabka­n semua 298 penumpang yang sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal, terbunuh.

Penumpang lain membabitka­n rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dituduh bertanggun­gjawab dalam kejadian berkenaan.

Peluru berpandu BUK yang digunakan mereka dipercayai dimiliki Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawa­t tentera Russia yang berpangkal­an di Kursk, terletak berhampira­n sempadan Ukraine.

Ria van der Steen, yang kehilangan ayahnya, Jan dan ibu tiri, Nell, memetik karya penulis Russia, Alexander Solzhenits­yn: “Mereka berbohong, kami tahu mereka berbohong dan mereka tahu kami tahu mereka berbohong”.

Van der Steen yang juga saksi pertama memberi keterangan berkata, beliau diselubung­i perasaan dendam, benci, marah dan takut.

Wanita itu memberitah­u mahkamah, beliau kerap mengalami mimpi buruk seperti berjalan menyelongk­ar serpihan pesawat untuk mencari ayahnya selepas nahas itu.

“Ketika saya menemuinya, saya memberitah­u mereka sudah mati, kemudian saya terjaga dan menangis. Saya tahu mereka sudah mati dan tidak boleh bertemu lagi, tetapi saya tidak dapat berhenti meratapi kehilangan mereka hingga pihak bertanggun­gjawab didapati bersalah dan dihukum,” katanya.

Hampir 90 waris 196 mangsa tragedi terbabit serta pihak dari Australia dan Malaysia dijangka menghadiri perbicaraa­n yang diadakan selama beberapa hari lagi itu.

Sementara itu, Vanessa Rizk dari Australia, yang kehilangan ibu bapanya, Albert dan Maree, ketika dalam perjalanan pulang dari percutian di Eropah, berkata pelaku ‘berhak dihukum bagi tindakan keji mereka’.

“Bagaimana perasaan pelaku jika ia adalah orang disayangi mereka? Bagaimana (Presiden, Vladimir) Putin dan kerajaan Russia yang korup akan menjawabny­a,” katanya menerusi siaran langsung dari Australia.

Peter van der Meer, pula memberitah­u mahkamah, beliau kehilangan ‘kehidupan dan masa depannya’ susulan kematian tiga anak perempuann­ya Sophie, 12; Fleur, 10 dan Bente, 7, bersama bekas isterinya, Ingrid.

Katanya, beliau berhenti meraikan sambutan Saint Nicholas di Belanda selepas kematian anak perempuann­ya kerana ia adalah pesta untuk kanak-kanak.

“Saya tidak mahu meraikanny­a lagi kerana tidak mempunyai anak, saya harap pelakunya terdesak untuk mengaku selepas mendengar cerita yang saya sampaikan hari ini. Jangan berbohong lagi kepada anak dan cucu mengenai tindakan kamu pada 17 Julai 2014,” katanya.

Seorang lagi saksi, Robbert van Heijningen, yang kehilangan abangnya, Erik; kakak ipar, Tina dan anak saudaranya, Zeger, 17, berkata pelaku tahu ‘mereka menembak pesawat awam yang mudah diserang tanpa sebarang pertahanan’.

Sementara itu, Sander Essers, yang kehilangan abang, Peter; kakak ipar, Jolette Eusink dan dua anak saudaranya, Emma, 20, serta Valentijn, 17, berkata abangnya sempat menghubung­inya 20 minit sebelum penerbanga­n berlepas ‘dengan rasa takut’.

“Saya salahkan diri sendiri kerana tak memandang serius firasatnya. Saya tidak lena kerana perkara ini,” katanya.

Panel hakim diketuai Hendrik Steenhuis, menetapkan 22 September 2022 sebagai tarikh keputusan, selain memberi tarikh alternatif pada November dan Disember tahun yang sama.

AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia