Berita Harian

Sidang Parlimen bermula hari ini selepas tertangguh 270 hari

Mesyuarat fokus isu pulih ekonomi, pakej bantuan rakyat

- Oleh Saiful Haizan Hasam saiful.haizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Parlimen kembali bersidang hari ini, persidanga­n penuh buat kali pertama dalam tempoh 270 hari selepas kali terakhir diadakan pada 17 Disember tahun lalu.

Persidanga­n pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara lain bakal menumpukan isu pemulihan negara serta pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsung­an hidup rakyat.

Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pagi ini dijadual disempurna­kan Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah pada jam 10 pagi.

Sesi kali ini yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsung­an hidup rakyat.

Mesyuarat selama 17 hari hingga 12 Oktober itu dilangsung­kan selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, juga bakal menyaksika­n pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu bagi menggantik­an Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Sidang kali ini akan berlangsun­g dalam dua pusingan, dengan Mesyuarat Pertama peringkat Dewan Rakyat selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober, diikuti Mesyuarat Kedua selama 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember.

Bagi Dewan Negara, Mesyuarat Pertama berlangsun­g 14 hari bermula 13 September hingga 26 Oktober, manakala Mesyuarat Kedua selama tujuh hari bermula 14 Disember hingga 23 Disember.

Agenda mengisi kekosongan ditinggalk­an Azalina tertumpu dua calon, iaitu Ahli Parlimen Pontian yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan daripada Barisan Nasional (BN) mewakili blok kerajaan, manakala Pakatan Harapan (PH) mencalonka­n Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Jika dua nama itu dicalonkan, persidanga­n dewan pada Selasa, sehari selepas perasmian akan menyaksika­n pengundian secara belah bahagian dalam kalangan 220 ahli Parlimen bagi memilih Timbalan Yang Dipertua.

Tumpuan juga kepada kemungkina­n usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri dibawa pada sidang kali ini, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata, tiada keperluan mengemukak­an undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berhujah, memandangk­an peruntukan Perlembaga­an Persekutua­n menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-pertuan Agong, sekali gus pelantikan Ismail Sabri adalah mengikut lunas undang-undang.

Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, selain usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, turut disenaraik­an adalah pembentang­an Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12) bagi 2021-2025 yang dijadual pada 27 September.

Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama empat hari mulai 14 September sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 22 dan 23 September, manakala perbahasan RMKE-12 pula bermula 28 September hingga 4 Oktober sebelum jawapan oleh menteri berkaitan.

Dua hari terakhir mesyuarat kali ini iaitu pada 11 dan 12 Oktober pula diisi dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan, manakala mesyuarat kedua tertumpu kepada pembentang­an Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober depan.

Wan Junaidi mengingatk­an semua ahli Parlimen tidak bersikap keterlalua­n di Dewan Rakyat, mengawasi penggunaan penggunaan bahasa supaya bersesuaia­n dengan tradisi model Parlimen Wesminster.

“Kita tidak boleh kerana di Parlimen India buat begitu, kita ikut stail India. Kalau Taiwan buat macam itu, jangan kita ikut perangai orang Taiwan. Tidak banyak Parlimen di dunia bersikap keterlalua­n walaupun ada laporan di Eropah Timur yang turut menunjukka­n sikap garang dan ganas begitu,” katanya kepada BH, semalam.

 ??  ??
 ??  ?? Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual disempurna­kan oleh Al-sultan Abdullah.
Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual disempurna­kan oleh Al-sultan Abdullah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia