Berita Harian

Cadangan perlu ambil kira pelbagai faktor kenaikan kos

-

Kuala Lumpur: Pelaksanaa­n sistem subsidi yang dicadangka­n bagi mengawal harga ayam, diharap mengambil kira semua faktor mempengaru­hi kenaikan harga ayam di pasaran.

Penasihat Persekutua­n Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, berkata cadangan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) antaranya perlu mengambil kira harga makanan ayam seperti jagung dan soya yang turun naik ketika ini.

Selain itu, katanya, KPDNHEP juga perlu meneliti kos tambahan ditanggung penternak dalam penjagaan anak ayam, yang ketika ini mudah sakit dan mengambil tempoh masa lebih lama untuk membesar akibat cuaca tidak menentu.

“Kami menyambut baik cadangan KPDNHEP untuk memberikan subsidi kepada penternak, dan berharap ia mempertimb­angkan pelbagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga ayam di pasaran.

“Di samping harga dedak ayam yang naik sekitar 20 peratus ketika ini, penternak juga terpaksa tanggung peningkata­n kos minyak kelapa sawit yang kita guna dalam makanan ayam, yang meningkat daripada RM2,000 kepada RM4,600,” katanya kepada BH.

Kelmarin, KPDNHEP dilaporkan bercadang melaksanak­an sistem subsidi kepada pengusaha ladang ayam terbesar bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.

Jeffrey berkata, faktor cuaca yang berubah-ubah menyebabka­n berat ayam tidak sampai dua kilogram (kg) walaupun selepas 40 hari, berbanding kebiasaan berat ayam mencecah 2.3 kg dalam tempoh 35 hari.

“Cuaca pada waktu siang terlalu panas menyebabka­n anak ayam tertekan, manakala malam terlalu sejuk menyebabka­n ayam mudah sakit dan perlu diberi ubat.

“Faktor ini menjejaska­n tempoh tumbesaran ayam, sekali gus meningkatk­an kos ditanggung penternak dari segi dedak dan ubat, belum mengambil kira kerugian jika ada anak ayam yang mati,” katanya.

Lebih penting, kata Jeffrey, adalah bagi KPDNHEP memastikan akses untuk ayam di ladang sampai ke pasaran sekiranya berlaku penutupan pasar di kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan ketat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia