Berita Harian

Rekalibras­i PATI tenaga kerja perlu diperhebat

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir dan Hazwan Faisal Mohamad

Mustapa menyampaik­an sumbangan bakul makanan kepada pekerja gig ekonomi dan bekas pengamal media secara pandu lalu di Putrajaya, semalam.

Langkah mampu atasi kekurangan buruh kian kritikal bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Pelaksanaa­n Program Rekalibras­i Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja (RTK) perlu diperhebat bagi menyelesai­kan isu kekurangan tenaga buruh kritikal di industri sawit dalam jangka pendek.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelaksanaa­n itu perlu memberi keutamaan kepada tenaga asing sedia ada di negara ini bagi memastikan pemulihan segera pasaran buruh di industri sawit.

Selain itu, katanya, had masa sehingga tiga minggu perlu ditetapkan bagi menyelesai­kan isu berkenaan dan mengelak peneroka dan pekebun kecil sawit berdepan lebih banyak kerugian.

“Sebenarnya kerajaan pada April lalu sudah meluluskan untuk membolehka­n buruh asing diambil kerja di ladang kelapa sawit melalui proses rekalibras­i. Malangnya ia tak dapat minat daripada buruh asing.

“FELDA dan FGV Holdings Bhd (FGV) umpamanya memerlukan 5,000 dan 10,000 buruh asing, selain mencatat kerugian RM1.6 bilion bagi enam bulan pertama dan untuk setahun RM3.2 bilion.

“Saya juga sudah membangkit­kan hal ini sekali lagi pada mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin (Jumaat lalu), selain sekali lagi akan panggil pihak berkenaan (untuk membincang­kan isu kekurangan tenaga buruh), esok,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli turut menyampaik­an sumbangan bakul makanan kepada pekerja gig ekonomi dan bekas pengamal media secara pandu lalu di sini, semalam.

Beliau mengulas isu industri sawit berisiko kehilangan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion setahun akibat kekurangan pekerja kritikal, membabitka­n kekosongan dianggarka­n 75,000 orang, sejak penularan COVID-19.

Ia turut menyebabka­n kerajaan hilang pendapatan kira-kira RM2 bilion hingga RM2.5 bilion setahun hasil duti dan cukai tidak dapat dikutip jika masalah itu dibiarkan berlanjuta­n dan tidak diatasi segera.

Mengenai penyelesai­an jangka panjang, Mustapa berkata, penggunaan mekanisasi dan pembabitan buruh tempatan dalam industri perladanga­n, khususnya sawit perlu diperhebat, selain kadar upah dan faedah perlu dinaikkan bagi menarik minat golongan muda.

“Gaji minimum RM1,200 tidak menarik bagi anak muda. Ada di beberapa kawasan, majikan naik gaji sikit dan beri kemudahan umpamanya perumahan percuma, elaun makan dan sebagainya. Ia akan menjadikan sektor ini lebih menarik.

“Bagaimanap­un, sementara waktu ini, dalam dua atau tiga minggu saya harap kita dapat cari kaedah bagaimana dua sumber, iaitu (buruh asing) sedia ada dalam negara, mungkin permitnya sudah tamat.

“Bagi (warga asing) yang baru mahu masuk, sudah pasti ia membabitka­n Kementeria­n Kesihatan bagi prosedur operasi standard (SOP) sebab kita tak mahu mereka bawa virus COVID-19 hingga berlaku lonjakan kes. Ini sudah pasti tidak bagus untuk kita,” katanya.

 ?? (Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) ??
(Foto Mohd Fadli Hamzah/bh)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia