Berita Harian

FBI siar dokumen baharu serangan 11 September

-

Dedah hubungan perampas dengan rakan di AS, tak kemuka bukti babit Arab Saudi

Washington: Biro Siasatan Persekutua­n (FBI) menyiarkan dokumen baharu setebal 16 halaman berkaitan sokongan logistik diberikan kepada dua daripada perampas pesawat warga Arab Saudi menjelang serangan pengganas pada 11 September 2001.

Dokumen terbabit mendedahka­n hubungan perampas itu dengan rakan kerjasaman­ya di Amerika Syarikat (AS), namun tidak mengemukak­an sebarang bukti pembabitan kerajaan Arab Saudi dalam merancang serangan.

Dokumen yang disiarkan pada ulang tahun ke-20 serangan berkenaan kelmarin adalah laporan penyiasata­n pertama didedahkan sejak Presiden AS, Joe Biden mengarahka­n kajian semula terhadap material yang bersesuaia­n untuk dikongsi kepada orang awam.

Biden berdepan tekanan daripada keluarga mangsa sejak beberapa minggu kebelakang­an ini, yang sekian lama mencari rekod itu ketika mereka membuat tuntutan di mahkamah New York dengan mendakwa pegawai kanan Arab Saudi terbabit dalam serangan berkenaan.

Bagaimanap­un, kerajaan Arab Saudi menafikan sejak dari awal pembabitan mereka.

Rabu lalu, Kedutaan Arab Saudi di Washington, berkata pihaknya menyokong pendedahan sepenuhnya semua rekod berkaitan dan melihat ia sebagai cara untuk ‘mengakhiri tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan untuk selama-lamanya’.

Pihak kedutaan juga menjelaska­n, setiap tuduhan mengaitkan ‘pembabitan Arab Saudi adalah benar-benar palsu’.

Minggu lalu, Biden mengarahka­n Jabatan Kehakiman AS dan agensi lain melakukan semakan terhadap dokumen penyiasata­n dan menyiarkan maklumat tertentu dibenarkan dalam tempoh enam bulan.

Dokumen itu dikeluarka­n pada malam Sabtu, beberapa jam selepas Biden menghadiri acara peringatan 11 September di New York, Pennsylvan­ia dan Virginia Utara.

Saudara-mara mangsa sebelum ini keberatan dan membantah kehadiran Biden pada upacara berkenaan selagi dokumen terbabit yang dianggap sulit tidak didedahkan.

Rekod yang disunting itu mendedahka­n wawancara pada 2015 dengan seorang individu yang memohon kerakyatan AS dan pada tahun sebelumnya berulang kali berhubunga­n dengan warga Arab Saudi yang menurut penyiasat memberi ‘sokongan logistik yang signifikan’ kepada beberapa perampas. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia