Berita Harian

Industri jagung bijian dijangka stabil dalam tempoh 15 tahun

MAFI mahu pastikan kualiti tanaman dijadikan dedak ayam penuhi kehendak pasaran, industri

- Oleh Aizat Sharif bhnews@bh.com.my

Padang Besar: Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkak­an tempoh 15 tahun diperlukan bagi menstabilk­an industri penanaman jagung bijian untuk dijadikan makanan ternakan alternatif kepada dedak dalam usaha mengawal kenaikan harga ayam dan telur ayam di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembanguna­n) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata makanan untuk ayam merangkumi 70 peratus daripada keperluan modal keseluruha­n yang lazimnya dilaburkan ke dalam industri penghasila­n makanan industri penternaka­n.

“Dalam kos kasar penternaka­n ayam, kira-kira 70 peratus atau RM1.70 adalah peruntukan untuk makanannya. Kos lain amat kurang, jadi sebab itu kita perlu lihat dulu apa kaedah yang boleh dilakukan untuk menyelesai­kan isu membabitka­n 70 peratus itu.

“Oleh itu, industri ini (penanaman jagung bijian) sedang kita bina. Soal tempoh sebenarnya bergantung kepada kebersedia­an petani, berapa banyak pengeluara­n kita dan kualiti produk yang kita hasilkan kerana cabaran di situ banyak.

“Kita bukan sahaja menghasilk­an input, tetapi hendak memastikan kualiti input itu memenuhi kehendak pasaran serta industri,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, di sini, semalam.

Terdapat tujuh varieti jagung bijian ditanam di 10 ladang seluruh Malaysia ketika ini, iaitu GWG 111, GWG 888, GWG 5006, P 4546, KWS 8933, Pasific 339 dan Goldconda7­09.

Jagung bijian adalah bahan utama dalam rumusan makanan haiwan iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus. Secara keseluruha­n, Malaysia mengimport 4.01 juta tan makanan ternakan pada 2020 bernilai RM6.15 bilion dengan separuh daripadany­a membabitka­n dua juta tan jagung bijian bernilai RM1.73 bilion.

Badrul Hisham berkata, agensi seperti Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, JPV dan lain-lain sedang melihat keseluruha­n aspek terbabit.

“Disebabkan itu juga, jangkaan tempoh 15 tahun itu bagi memastikan kestabilan industri penanaman jagung bijian. Tempoh satu atau dua tahun memang tidak cukup dalam pelaksanaa­n rancangan ini kerana kita perlu melihat dari seluruh sudut rantaian nilai itu,” katanya.

Apabila kestabilan industri itu mula menampakka­n hasil, katanya, kerajaan dapat menjadikan penanaman jagung bijian sebagai salah satu daripada pembanguna­n pertanian negara.

“Dalam hal ini, prosesnya agak panjang kerana kita hendak pastikan segalanya selamat dan setiap pelabur industri ini mendapat rujukan yang betul, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan boleh menanam (jagung bijian) daripada proses A hingga Z tanpa masalah sepanjang rantaian nilai itu.

“Jika dilihat bahan dedak itu sebenarnya terdiri daripada jagung bijian dan kacang soya serta lain-lain campuran. Sebab itu kita fokus kepada bahan utama, iaitu jagung supaya kita boleh selesaikan masalah utama.

“Sekiranya langkah ini berjalan lancar dan baik seperti yang dijalankan hari ini, ia dapat membantu dalam permasalah­an (isu kenaikan harga ayam) pada waktu ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarka­n hasil 5.8 tan jagung bijian bagi satu hektar tanah ladang yang dicapai di Malaysia ketika ini, ia dilihat sebagai sangat baik.

“Di Thailand juga, pengeluara­nnya sekitar jumlah berkenaan. Kita merancang sehingga 2030, keseluruha­n ladang jagung bijian di negara ini mampu mengeluark­an 10 hingga 12 tan sekiranya petani menjalanka­n penanaman menggunaka­n cara dan teknologi yang betul.

“Ini sekali gus dapat mengurangk­an kebergantu­ngan kepada bekalan makanan diimport dan dapat menstabilk­an pasaran, sekali gus mengelak kenaikan harga jualan (ayam),” katanya.

BH semalam melaporkan Malaysia menyasar mengeluark­an 600,000 tan jagung bijirin untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun lagi, sekali gus mengurangk­an 30 peratus daripada pergantung­an import.

Susulan usaha ini, ia dijangka berupaya mengawal harga ayam dan telur apabila penternak tempatan sering menggunaka­n alasan bahawa antara faktor kenaikan harga disebabkan harga makanan ternakan melambung.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan dilaporkan berkata, berkata sasaran itu mampu dicapai melalui projek penanaman jagung bijian di kawasan 50,000 hektar secara berfasa mula tahun depan.

Ketika ini, Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Krisis bekalan dan kenaikan harga ayam serta telur sering berlaku di negara ini sehingga pelbagai pihak mendesak kerajaan segera menanganin­ya kerana ia membabitka­n isu keselamata­n makanan penduduk.

Secara purata, keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ayam sebulan.

Penternak tempatan pula kebelakang­an ini didapati mengurangk­an pengeluara­n ayam bagi mengelak kerugian akibat peningkata­n kos operasi yang disumbangk­an oleh peningkata­n ketara harga dedak.

Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Perng sebelum ini berkata, penternak berdepan kenaikan harga makanan ayam setiap bulan dengan keseluruha­n RM33 dalam tempoh dua tahun, selain kekangan tenaga kerja asing di ladang ternakan dan kos bekalan elektrik bagi reban sistem tertutup.

Harga dedak ayam meningkat sejak pandemik COVID-19 daripada RM80 satu beg menjadi RM120 hingga RM125 bergantung kepada kuantiti dan jenama. Seekor ayam seberat dua kilogram (kg) memerlukan 4kg makanan bagi tempoh 35 hari mencapai tempoh matang untuk dijual.

Jabatan Pertanian melaksanak­an penanaman jagung bijian bagi makanan haiwan melalui projek rintis sejak 2018.

Sehingga kini, kawasan 280 hektar tanaman jagung bijian di Perlis, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak dibuka dengan pembabitan kira-kira 50 usahawan tani dan syarikat swasta.

Pada tahun ini, selain meneruskan penanaman jagung bijian ini di kawasan sedia ada, jabatan itu membuka kawasan baharu, manakala tahun depan akan memasuki fasa pengukuhan dan menuju ke arah usaha untuk menghasilk­an 30 peratus keperluan jagung bijian dalam negara.

Ia termasuk dalam blueprint Industri Jagung Bijian Negara yang mempunyai tiga fasa iaitu Fasa 1: Projek Rintis (2018 hingga 2022), Fasa 2: Fasa Pengukuhan (2023 hingga 2027) dan Fasa 3: Fasa Pengembang­an (2028 hingga 2032).

 ?? (Foto Luqman Hakim Zubir/bh) ?? Badrul Hisham (tiga dari kanan) melihat ladang jagung pada Program Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, Perlis, semalam.
(Foto Luqman Hakim Zubir/bh) Badrul Hisham (tiga dari kanan) melihat ladang jagung pada Program Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, Perlis, semalam.
 ?? ??
 ?? ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia