Berita Harian

Dua beradik derita sakit kepala besar, kanser

-

Alor Setar: “Anak sulung saya menghidap penyakit berkepala besar menyebabka­n dia terpaksa merangkak dan berkerusi roda untuk ke sekolah, manakala anak kedua menghidap kanser neuroblast­oma tahap empat,” kata Zulfikah Azman, 26.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, anak sulungnya, Muhammad Rayyan Muhamad Fazli, 7, disahkan menghidapi penyakit hydrocepha­lus sejak lahir dan sudah menjalani pembedahan memasang tiub dari kepala ke usus bagi mengalirka­n lebihan cecair dari kepala.

Katanya, Rayyan turut mengalami masalah tulang belakang dan tidak mempunyai deria rasa pada bahagian lutut ke bawah selain tidak sedar ketika membuang air kecil dan air besar.

“Rayyan perlu pakai lampin pakai buang saiz orang dewasa kerana dia kerap kencing, selain itu kami juga perlu membuat persediaan kerana dia dijangka menjalani pembedahan bila-bila masa sahaja sekiranya saluran tiub di kepalanya tersumbat, malah kakinya juga perlu dilakukan pembedahan selepas ini.

“Kepalanya kini kelihatan normal selepas dipasang saluran tiub itu selepas lahir, namun dia tidak normal seperti kanak-kanak lain, hendak berjalan beberapa langkah pun tidak mampu, dia banyak merangkak di rumah, termasuk ketika bermain dengan adik dan rakan,” katanya yang menyewa di Pokok Sena, dekat sini.

Zulfikah berkata, keadaan lebih menyedihka­n apabila anak keduanya, Nur Ammara Sumayyah yang juga mempunyai kembar kini terlantar selepas sel kanser neuroblast­oma semakin merebak.

Katanya, Sumayyah, 4, mengadu sakit perut dan tidak mampu berjalan pada Disember tahun lalu, sebelum disahkan menghidap kanser oleh doktor pakar Hospital Pulau Pinang (HPP) selang dua hari kemudian.

“Sejak itu, perut Sumayyah mula membesar manakala kaki dan tangannya mula mengecut selain berat badannya semakin susut.

“Ketumbuhan kanser itu sudah merebak pada bahagian organ lain termasuk hati dan tulang sum sum menyebabka­n dia sakit sehingga meracau dan menggigit bibir, jari dan pipinya hingga berdarah.

“Betapa sedihnya saya melihat keadaan dia ketika ini kerana sebelum ini dia sangat aktif sama seperti adik kembarnya, Nur Ammara Sofia,” katanya dalam suara tersekat-sekat.

Beliau berkata, anak keduanya itu sudah menamatkan pusingan pertama rawatan kemoterapi di HPP pada April lalu, dan perlu menjalani rawatan sama tidak lama lagi.

Berikutan keadaan kedua-dua anaknya yang memerlukan rawatan berterusan, Zulfikah dan suaminya, Muhamad Fazli Mustapa, 29, tidak dapat bekerja tetap kerana kerap mengambil cuti untuk membawa mereka ke hospital.

“Ketika ini, suami hanya mengambil upah melakukan kerja kampung seperti membuat rumah dan memotong rumput dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

“Dengan pendapatan itu kami perlu beli lampin pakai buang Rayyan sebanyak RM200 sebulan, membayar kos berulang alik dari Pokok Sena ke HPP dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Ada ketika kami terpaksa meminjam wang saudara terdekat bagi menguruska­n anak dan pada masa sama perlu membayar sewa rumah dan perbelanja­an lain,” katanya.

Zulfikah berkata, beliau berterima kasih kepada Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) yang melancarka­n tabung bantuan untuk Sumayyah, baru-baru ini dan hasilnya mereka ada mendapat sumbangan pada Mac lalu.

 ?? ?? Muhammad Rayyan terpaksa menggunaka­n kerusi roda untuk ke sekolah, manakala Summayyah hanya terlantar di atas katil akibat kanser.
Muhammad Rayyan terpaksa menggunaka­n kerusi roda untuk ke sekolah, manakala Summayyah hanya terlantar di atas katil akibat kanser.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia