Berita Harian

Tak sengaja layari lagu nasyid jadi inspirasi peluk Islam

- Oleh Siti Haliza Yusop

Kali pertama berpuasa, sambut Aidilfitri beri kenangan manis kepada Jasmina bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Syawal membawa 1,001 memori indah kepada saudara baharu, Jasmina Abdullah, 21, apabila kali pertama dapat merayakan sambutan Aidilfitri bersama keluarga angkat di Koothanall­urm, Tamil Nadu, India.

Baru sahaja kembali ke tanah air Ahad lalu selepas lebih seminggu di India, Jasmina berkata, 1 Syawal diraikan dengan meriah meskipun tidak ramai umat Islam menetap di Koothanall­urm.

Jasmina ke sana bersama bapa angkatnya, iaitu seorang warga India yang sudah lama menetap di Malaysia dan bertanggun­gjawab membantuny­a memeluk Islam tahun lalu.

Mereka menaiki penerbanga­n ke Tiruchirap­palli (Trichy) sebelum menempuh perjalanan beberapa jam dengan kereta ke Koothanall­urm untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga bapa angkatnya.

Beliau berkata, di Koothanall­urm, hanya lelaki sahaja menunaikan solat Aidilfitri di masjid, manakala wanita solat di rumah.

Selepas selesai takbir raya dan solat Aidilfitri, mereka disajikan pelbagai hidangan, iaitu nasi briyani, lauk-pauk mirip rendang ayam dan pelbagai manisan.

Jasmina yang membawa dua pasang persalinan baharu, berkata beliau sudah lama berhasrat ke India dan tidak menyangka akan dapat turut meraikan Aidilfitri di sana.

“Saya lihat sambutan Aidilfitri berbeza di India. Tiada sesi bermaaf-maafan, tetapi suasana tetap meriah, tambahan lagi kediaman keluarga angkat saya menerima ramai tetamu.

“Saya sudah lama tidak dapat menemui adik-beradik kandung di tanah air sejak memeluk Islam, jadi kemeriahan Aidilfitri dikeliling­i keluarga angkat sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada mereka,” katanya kini tidak sabar merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di tanah air.

Jasmina yang sudah lima bulan memeluk Islam sejak Disember lalu, kini giat mengikuti pengajian asas enam bulan di penempatan sementara bagi saudara baharu di Kompleks Darul Hidayah, Sentul, di sini.

Beliau mendalami Islam sebagai cara hidup dan gembira berkongsi mempelajar­i al-quran dan hampir menghabisk­an Iqra empat.

Membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah, Jasmina yang tinggal di sebuah pertubuhan kebajikan di Selangor sejak usia tiga tahun berkata, pengalaman sebagai saudara baharu dirasakan amat manis apabila pertama kali berpuasa, bersahur, berbuka dan solat tarawih pada Ramadan lalu.

Jasmina bangun seawal jam 4 pagi untuk solat Tahajud sebelum bersahur dengan hidangan disediakan Kompleks Darul Hidayah.

Mengakui penat menahan lapar dan dahaga, namun beliau gembira apabila selepas berbuka,

Jasmina dalam satu acara di Kedah anjuran Kompleks Darul Hidayah.

mereka dapat solat tarawih bersama.

“Bukan mudah berpuasa sebagai saudara baharu, tambahan pula saya ada gastrik, tetapi bersyukur dapat menghayati kepayahan orang miskin yang tidak sempurna hidupnya,” kata gadis dari Tapah, Perak itu.

Sejak di sekolah rendah, Jasmina sudah berkawan dengan rakan beragama Islam, malah pernah memakai tudung ke sekolah, selain cuba memasuki surau kerana begitu tertarik dengan Islam.

Tetapi tarikan dirasainya itu hilang perlahan-lahan ketika Jasmina bersekolah menengah, hingga apabila secara tidak sengaja melayari lagu nasyid di laman Youtube, tahun lalu.

“Nasyid dalam pelbagai bahasa saya tonton pada masa itu mengembali­kan ingatan kepada Islam yang sudah lama dilupakan.

“Saya ambil masa beberapa bulan untuk belajar mengenai Islam dengan bantuan bapa angkat dan selepas yakin, saya ambil keputusan mengucap dua kalimah syahadah,” kongsinya.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, kemeriahan Aidilfitri menguatkan kerinduann­ya kepada kakak serta adikadikny­a selepas kali terakhir dapat berhubung, akhir tahun lalu.

“Ada halangan kami tidak dapat berhubung lagi, tetapi saya amat berharap dapat bertemu mereka dan kembali sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Pengetua Kompleks Darul Hidayah, Saiful Azhar Wahab, berkata Jasmina antara hampir 40 saudara baharu yang menetap di situ sejak awal tahun ini.

Kemudahan penempatan sementara serta tempat pengajian yang dibangunka­n Majlis Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur (MAIWP) sejak 2017 itu, boleh menempatka­n 300 saudara baharu dalam satu-satu masa.

Sejak Januari lalu, hampir 100 saudara baharu mengikuti kelas pengajian mengikut tahap asas, pertengaha­n dan lanjutan selama enam bulan, bagi meningkatk­an kefahaman mengenai Islam.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia