Berita Harian

Sri Lanka arah ‘serangan’ bendung rusuhan

-

Polis dibenar guna peluru hidup atasi bantahan krisis ekonomi bertukar ganas

Polis Sri Lanka diarah untuk menyerang dan menggunaka­n peluru hidup bagi menghentik­an rusuhan selepas beberapa siri tindakan membakar infrastruk­tur berlaku.

Menurut polis, lapan individu maut sejak Isnin lalu susulan kekecewaan penduduk terhadap krisis ekonomi bertukar menjadi insiden ganas antara penyokong dan penentang Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa.

Sebuah hotel mewah yang dikatakan milik saudara Rajapaksa dibakar pada Selasa lalu meskipun perintah berkurung dilaksanak­an dan ribuan anggota keselamata­n diarah ‘melepaskan tembakan’ untuk mengekang kekacauan berlarutan.

Seorang pegawai keselamata­n kanan yang enggan identitiny­a didedahkan menyifatka­n insiden itu sebagai keganasan terancang dan bukan lagi tindakan spontan akibat kemarahan.

“Jika tidak dikawal, situasi mungkin bertukar kepada anarki sepenuhnya,” katanya.

Pegawai keselamata­n itu berkata, 85,000 polis ‘diarah menggunaka­n pendekatan menyerang’ dan guna peluru hidup terhadap individu yang mencetuska­n gangguan.

Perintah berkurung yang dilaksanak­an selepas keganasan berlaku Isnin lalu dijadualka­n berakhir semalam, namun dilanjut untuk tempoh 24 jam susulan keganasan berterusan.

Selain kebakaran hotel mewah itu, polis turut melepaskan tembakan ke udara di dua lokasi untuk menyuraika­n perusuh yang cuba membakar kenderaan.

Polis turut meningkatk­an kawalan keselamata­n terhadap beberapa hakim yang difahamkan turut menjadi sasaran perusuh.

Situasi kucar-kacir di Sri Lanka merebak susulan insiden Isnin lalu selepas penyokong kerajaan yang bersenjata­kan kayu dan belantan menyerang penunjuk perasaan yang memprotes secara aman selama beberapa minggu di Colombo susulan krisis ekonomi dan mendesak Rajapaksa meletak jawatan.

Perusuh kemudian bertindak balas di seluruh negara itu sehingga tengah malam dengan membakar beberapa kediaman ahli politik parti pemerintah dan cuba menyerbu kediaman rasmi Perdana Menteri Sri Lanka.

Abang kepada Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa terpaksa diselamatk­an menerusi operasi ketenteraa­n menjelang subuh pada Selasa selepas ribuan penunjuk perasaan yang berang menyerbu kediamanny­a, beberapa jam selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengulangi gesaan ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) apabila membangkit­kan kebimbanga­n terhadap keganasan yang meningkat dengan kerahan tentera di Sri Lanka.

“Kami tegaskan penunjuk perasaan secara aman tidak boleh dilayan secara ganas atau intimidasi, sama ada oleh tentera atau unit awam,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia