Berita Harian

New Zealand buka sempadan antarabang­sa akhir Julai

-

Jacinda Ardern

Wellington: New Zealand akan membuka semula sempadan antarabang­sanya mulai jam 11.59 malam, 31 Julai depan.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern, berkata langkah itu juga akan menyaksika­n kapal persiaran dialu-alukan kembali ke pelabuhan tempatan pada hari sama.

Pembukaan sempadan pada akhir Julai adalah dua bulan lebih awal daripada jangka masa ditetapkan kerajaan, sekali gus membolehka­n pelawat yang memiliki visa boleh ke negara itu.

Menerusi ucapan pada majlis makan tengah hari Business NZ di Auckland, Ardern berkata, pembukaan sempadan akan membantu mengurangk­an kekurangan tenaga kerja mahir dengan segera, membuka pelanconga­n dan meletakkan tetapan imigresen pada kedudukan lebih selamat.

“Kami sedang membina rancangan yang terbukti menjamin masa depan ekonomi New Zealand,” kata Ardern.

Sebelum ini, kerajaan berkata langkah terakhir pembukaan semula akan berlaku pada Oktober walaupun ia membayangk­an tarikh itu mungkin akan dibawa ke hadapan.

New Zealand secara beransuran­sur membenarka­n pelawat asing kembali tahun ini, dengan harapan dapat memulihkan industri pelanconga­n yang musnah dan menambah pekerja ke pasaran buruh yang bergelut dengan kekurangan tenaga kerja berkemahir­an.

Pelawat dari negara pengecuali­an visa seperti Singapura, Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Jerman boleh masuk mulai 2 Mei, manakala warga Australia boleh tiba mulai 13 April.

Kerajaan optimis pembukaan semula sepenuhnya akan memulakan permintaan bagi musim puncak pelancong musim bunga dan musim panas walaupun sempadan China yang masih ditutup menyukarka­n rakyatnya untuk melancong ke peringkat antarabang­sa. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia