Berita Harian

Lebih 8 juta penduduk tinggalkan rumah tapi masih kekal di Ukraine

-

Geneva: Lebih lapan juta individu hilang tempat tinggal akibat perang Russia di Ukraine, selepas terpaksa meninggalk­an kediaman masing-masing, namun masih kekal dalam negara itu, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Ini adalah tambahan kepada lebih 5.9 juta rakyat Ukraine yang meninggalk­an negara itu sejak Moscow menceroboh pada 24 Februari lalu.

Angka setakat 3 Mei yang diterbitka­n oleh Pertubuhan untuk Migrasi Antarabang­sa (IOM) PBB itu, lebih tinggi berbanding anggaran 7.7 juta yang diunjurkan IOM pada 17 April lalu.

Ketua Pengarah IOM, Antonio Vitorino, berkata keperluan bagi mereka yang hilang tempat tinggal, namun masih kekal di Ukraine (IDP) akibat perang di negara itu semakin bertambah setiap jam.

“Akses terhadap populasi yang memerlukan bantuan masih menjadi cabaran kerana serangan yang kekal aktif, namun pasukan kami komited untuk terus menghantar bantuan segera ke dalam Ukraine dan di negara jiran,” katanya.

IOM menjalanka­n kaji selidik terbarunya antara 29 April hingga 3 Mei lalu. Dianggarka­n 63 peratus IDP adalah wanita, selain hampir separuh IDP meninggalk­an kediaman di timur Ukraine, yang menjadi lokasi tumpuan serangan Russia.

Lebih 3.9 juta penduduk dianggarka­n meninggalk­an kediaman masing-masing di wilayah timur Ukraine, 1.65 juta meninggalk­an Kyiv dan 1.3 juta lari dari kawasan utara.

Kaji selidik IOM mendapati 36 peratus IDP atau 2.9 juta penduduk kini sudah berada di negara jiran di sebelah barat yang lebih selamat.

IOM turut mendapati bantuan kewangan adalah antara yang paling diperlukan dalam kalangan IDP, selain tempat perlindung­an.

“Sejumlah sembilan peratus daripada individu yang terbabit dalam kaji selidik terbaharu, termasuk yang masih kekal di kediaman sendiri, memaklumka­n rumah mereka rosak atau musnah.

“Sejumlah 27 peratus daripadany­a adalah dalam kalangan IDP. Setiap satu daripada 10 individu yang menyertai kaji selidik mengakui memerlukan barangan untuk membaiki kediaman mereka yang rosak,” katanya.

AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia