Berita Harian

‘Masalah sama berulang‛

- Oleh Zulfaizan Mansor

Liga Super

Hilang fokus saat akhir punca Kedah terus gigit jari

zulfaizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Hilang fokus pada minit akhir menjadi punca Kedah Darul Aman FC terlepas peluang meraih tiga mata berharga apabila terikat 3-3 dengan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

Apa yang mengecewak­an adalah skuad kendalian Aidil Sharin Sahak gagal mengekang kebangkita­n tuan rumah walaupun mereka sudah mendahului 3-1 menerusi ledakan hatrik Wanja Ronald Ngah pada minit ke-20, 33 dan 65.

Bagaimanap­un jaringan Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-77 dan 83 meranapkan impian Kedah untuk membawa pulang mata penuh.

Malah, ia juga menjadi perlawanan ketiga berturut-turut skuad Kenari tidak menang dalam saingan Liga Super selepas tewas di tangan Melaka United FC dan Sabah FC sebelum ini.

Penolong Jurulatih Kedah, Victor Andrag memohon maaf kepada seluruh penyokong Kedah dan berharap masalah prestasi yang dihadapi pasukan itu dapat diatasi untuk perlawanan akan datang.

“Benda ini bukan sekarang, perlawanan demi perlawanan kami melakukan analisis, kami cuba atasi dan perkara sama masih berlaku. Pada minit akhir kita hilang fokus dan dibolosi.

“Kami memang tiada masalah sama ada dalam padang atau luar jurulatih saya amat memohon maaf.

“Mentaliti semua pemain kita cuba nak menang, yang jadi masalah hilang fokus pada minit akhir menyebabka­n kita akur dengan keputusan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah kini mengumpul 13 mata selepas merekodkan empat kemenangan, satu seri dan tiga kali tewas dalam lapan perlawanan, manakala PJ City pula menghimpun lapan mata.

Sementara itu, Pengurus PJ City, K Rajendran berbangga dengan semangat pemain skuad itu yang bangkit daripada ketinggala­n untuk mendapatka­n satu mata.

Katanya, walaupun hanya satu mata, namun mereka tetap gembira kerana berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas di tangan Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia