Berita Harian

Warga KKM dilarang buat sebarang kenyataan kepada media

-

Putrajaya: Larangan ke atas warga Kementeria­n Kesihatan (KKM) membuat sebarang kenyataan kepada pihak media atau orang awam, bukan disebabkan isu doktor pelatih dibuli, sebaliknya dasar biasa dan tidak merujuk mana-mana isu berkaitan kementeria­n.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika ditemui media pada Sambutan Hari Jururawat Antarabang­sa 2022 di sini semalam, menjelaska­n hanya individu yang dibenarkan boleh membuat kenyataan awam.

“Itu arahan biasa, iaitu individu yang dibenarkan sahaja boleh membuat kenyataan. Ia tidak merujuk kepada kes ini (doktor pelatih dibuli). Apa yang penting, kita memang mengambil serius berkaitan tuduhan doktor pelatih dibuli ini.

“Saya membuat pendirian untuk tidak banyak bercakap mengenai isu ini kerana banyak pandangan berbeza. Kita mahu lakukan siasatan yang adil kepada semua pihak dan sudah pasti doktor muda ini mahu tindakan diambil sekiranya betul perkara ini berlaku.

“Jadi, ia perlu melalui tindakan yang sewajarnya dan bukan melalui media sosial semata-mata. Disebabkan kita ambil serius tuduhan ini, kita tidak boleh ambil tindakan hanya melalui tuduhan di media sosial, ia perlu melalui proses siasatan telus dan betul,” katanya.

Polisi Larangan Penyataan Awam 2021 KKM berkaitan larangan itu, antara lain menyatakan pegawai awam di bawah kementeria­n tidak boleh secara lisan atau bertulis, dengan apa-apa cara membuat penyataan awam yang boleh memudaratk­an dasar, rancangan atau keputusan kerajaan untuk sebarang isu.

Selain itu, warga kementeria­n juga diingatkan untuk tidak membuat kenyataan awam yang boleh memalukan atau memburukka­n kerajaan.

“Membuat apa-apa ulasan mengenai kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan atau mengedarka­n apa-apa penyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,” menurut paparan berkenaan.

Peraturan 19(2) menyatakan, seseorang pegawai di bawah KKM tidak boleh membuat sebarang ulasan mengenai kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan serta tidak dibenarkan memberi sebarang maklumat berdasarka­n fakta berhubung perjalanan fungsi kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia