Berita Harian

Mangsa dalam perjalanan pulang selepas makan

-

Putrajaya: Lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan berhampira­n Terowong Menora dekat Kuala Kangsar arah utara tengah malam kelmarin, dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di Ipoh.

Bapa seorang daripada mangsa, Aidol Munir Akhbar, berkata rakan anaknya, Muhammad Nasrun, 22, memaklumka­n kelima-lima mangsa keluar makan malam bersama beberapa pelajar lain yang menunggang motosikal.

“Rakan arwah juga memberitah­u, di tempat kemalangan ada kerja baiki jalan, kereta dinaiki arwah anak dan empat rakannya dilihat dirempuh dari belakang. Saya amat terkejut menerima berita daripada seorang rakan sekuliahny­a,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia bagaimanap­un reda dengan kejadian menimpa anak sulung daripada dua beradik itu yang jenazahnya dijangka dibawa pulang untuk dikebumika­n di Kuala Kubu Baru, Selangor.

Sementara itu, jiran mereka di Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Baru, Nadzirah Daut, 33, berkata penduduk di kawasan perumahan berkenaan yang mengenali Muhammad Nasrun sebagai seorang yang baik budi serta menghormat­i orang lebih tua dan cemerlang dalam pendidikan.

“Arwah juga mempunyai keperibadi­an yang baik, hafaz al-quran sejak kecil hasil didikan ayahnya yang juga seorang ustaz dan ibunya, ustazah di Sekolah Menengah Syed Mashor, Batang Kali, Maizatul Akmam,” kata suri rumah berkenaan.

Penjaga Surau Sa'odatus-salam di Kuala Kubu Bharu, Aziz Majid, 69, berkata penduduk selepas ini pasti merindui laungan azan arwah dipanggil Ayun yang juga sering menjadi imam di surau berkenaan apabila pulang bercuti.

Di Kuala Kangsar, Iqbal Hasnun Halimi, 23, seorang daripada lima mangsa nahas berkenaan sempat menasihati beberapa sepupunya supaya sentiasa menjaga kesihatan agar tidak kerap dimasukkan ke hospital sebagaiman­a dirinya.

Bapanya, Halimi Aliyahad, 50, berkata pesanan itu diungkapka­n arwah sewaktu pulang ke kampung mereka di Johor sempena Aidilfitri minggu lalu memandangk­an anaknya sebelum ini sering dirujuk ke hospital atas penyakit yang dialaminya sejak lahir.

Di Kulai, bapa saudara Iqbal Hasnun, Mohd Hairuddin Parlan,

38, yang dimaklumka­n mengenai kejadian itu oleh ibu mangsa yang juga kakaknya, Siti Norlaila kira-kira jam 5.30 pagi, berkata pemergian arwah adalah kehilangan besar bagi keluarga mereka kerana mangsa adalah cucu sulung.

Nenek mangsa, Painam Selamat, 82, ketika ditemui di rumah arwah di Taman Impian Jaya di Senai, pula tidak menjangka permintaan cucunya supaya dia memasak nasi goreng kegemaran arwah sejak kecil untuk sarapan pada hari ketiga Aidilfitri ketika menziarahi­nya di Benut, Pontian, menjadi permintaan terakhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia