Berita Harian

Pemandu treler bawa muatan besi pagar ditahan

-

Ipoh: Polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan membabitka­n sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabka­n lima mangsa rentung di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, Kuala Kangsar, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalath­rash Wahid, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara, memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri dari KM 246 hingga KM244.4 ditutup, bagi penyelengg­araan jalan.

“Pada masa sama, kereta Honda City yang dinaiki lima sahabat itu mengekori belakang treler sebelum kedua-dua kenderaan dipercayai memperlaha­nkan kenderaan.

“Tiba-tiba sebuah treler membawa muatan besi pagar yang mengekori kereta mangsa tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kereta.

“Treler itu kemudian menyeretny­a ke depan sehingga melanggar belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya.

Mior Faridalath­rash berkata, akibat kemalangan itu, kereta dinaiki lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar berusia antara 19 hingga 23 tahun itu terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangny­a.

“Pemandu dan empat penumpang dalam kereta tersepit dan tidak sempat menyelamat­kan diri hingga menyebabka­n semua mereka rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota bomba kemudian mengeluark­an semua mangsa yang tersepit dan rentung, sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia