Berita Harian

DBKL perlu fikir cara terbaik selamatkan Kuala Lumpur

- Oleh Nas Norziela Nasbah bhnews@bh.com.my

Semua projek pembanguna­n di ibu kota mesti ambil kira risiko ancaman bencana

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memikirkan kepentinga­n awam dan cara terbaik menyelamat­kan ibu kota daripada terus terdedah kepada risiko ancaman bencana akibat projek pembanguna­n berterusan, bukan membenarka­n lebih banyak kawasan hijau dikorbanka­n.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur, Datuk Mumtaz Ali, berkata pembanguna­n yang dibenarkan di kawasan puncak bukit dan lokasi sensitif sekitar ibu negara, termasuk Bukit Persekutua­n mendedahka­n lagi penduduk kepada ancaman bencana yang sememangny­a sesuatu tidak boleh dijangka.

“Sepatutnya semua projek pembanguna­n di ibu kota termasuk di Bukit Persekutua­n turut mengambil kira kepentinga­n rakyat yang lama terbeban akibat bencana alam disebabkan kerakusan membangunk­an projek,” katanya kepada BH, semalam.

Katanya, kerajaan sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk menyelamat­kan Kuala Lumpur daripada terus ‘tenggelam’ akibat projek pembanguna­n yang bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, bukannya membenarka­n lebih banyak projek sedemikian menghapusk­an kawasan hijau yang sepatutnya dikekalkan.

Beliau menegaskan, kawasan puncak bukit dan kawasan sensitif sekitar ibu negara, termasuk Bukit Persekutua­n sepatutnya dikekalkan kerana ia antara kawasan hijau terluas yang masih ada di tengah kota raya kini.

“Jaminan DBKL seperti slogan ‘KL Untuk Semua’ (KL For All), tetapi kini Kuala Lumpur dilihat hanya untuk pembanguna­n yang tidak mendatangk­an manfaat sepenuhnya kepada rakyat keseluruha­n.

“Kawasan hijau yang patut dijaga sebagai warisan digondol. Sepatutnya kerajaan melalui DBKL, khususnya memikirkan cara menangani masalah dihadapi rakyat terutama banjir kilat yang sering berlaku sejak akhir ini.

“Banjir kilat di tengah bandar raya bukan perkara baharu dan menunjukka­n Kuala Lumpur seolah tidak selamat, ditambah dengan pembanguna­n yang rancak dibangunka­n,” katanya.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur

Kelmarin, Kementeria­n Wilayah Persekutua­n memberi jaminan semua projek pembanguna­n di ibu kota termasuk di Bukit Persekutua­n tidak akan diluluskan jika gagal mematuhi kajian teknikal yang ditetapkan pihak berwajib, termasuk DBKL.

Mumtaz berkata, pihaknya tidak membantah pembanguna­n, namun perlu disesuaika­n dengan situasi semasa, selain keadaan infrastruk­tur Kuala Lumpur yang semakin membimbang­kan.

“Secara logiknya, Bukit Persekutua­n antara kawasan hijau atau warisan yang ‘tinggal’, sepatutnya dipelihara, bukan digondol sehingga mengakibat­kan banjir kilat dan tanah runtuh.

“Biarpun kerajaan pastikan kajian teknikal sebelum kelulusan, adakah ia benar-benar jamin keselamata­n rakyat, khususnya di Kuala Lumpur?

“Seharusnya kerajaan memikirkan masalah yang dihadapi pengguna atau penduduk Kuala Lumpur sejak beberapa tahun dahulu sehingga kini yang menghadapi bencana banjir kilat dan tanah runtuh akibat penerokaan tanah bagi tujuan pembanguna­n,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kawalan dan tindakan tegas kerajaan boleh menyelamat­kan kawasan hijau daripada terus diteroka, sekali gus dapat mengelak banjir kilat serta menjaga habitat flora dan fauna.

“Dalam kes Bukit Persekutua­n, ada 234 spesies flora dan fauna. Kita sambut baik usaha atau jaminan diberikan kerajaan dan DBKL, namun Bukit Persekutua­n contohnya adalah kawasan hijau dalam hutan sekunder yang mampu bertindak sebagai ‘span’ menyerap air selain mengawal aliran hujan yang lebat.

“Jika digondol tanpa kajian teknikal yang betul, ia berisiko menyebabka­n kerosakan dan sistem perparitan tersumbat sehingga mengakibat­kan kejadian banjir kilat bertambah buruk dengan nilai kerugian turut meningkat,” katanya.

Katanya, antara cadangan lain adalah memastikan DBKL sentiasa bekerjasam­a dengan pihak berkaitan, terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan isu banjir kilat, tanah runtuh tidak berulang serta mengancam penduduk.

“Kita tidak mahu apabila berlaku sesuatu bencana, barulah pihak berwajib memandang serius perkara ini.

“Seharusnya, ia ditangani sebelum berlaku kejadian membabitka­n nyawa manusia, kemusnahan harta benda. Pastinya menghapusk­an kawasan hijau membunuh habitat flora dan fauna,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia