Berita Harian

Ketua Menteri Melaka nafi dakwaan letak jawatan

-

Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan sudah melepaskan jawatan susulan dakwaan kononnya beliau dipaksa menandatan­gani surat peletakan jawatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menegaskan dakwaan terbabit tidak benar serta berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinny­a sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), November lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan terus berkhidmat sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendak­i pucuk kepemimpin­an (parti dan negara).

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ini adalah kenyataan rasmi beliau selepas isu paksaan supaya beliau melepaskan jawatan terbabit dibangkitk­an media sejak minggu lalu.

Beliau berkata, isu seperti itu tidak sepatutnya timbul, terutama ketika UMNO dan BN negeri sedang memberi fokus untuk memperkuku­h usaha serta tenaga bagi merampas kembali kerusi Parlimen yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keterbukaa­n saya mendengar pandangan ahli politik negeri bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya satu kekuatan bagi menghasilk­an keputusan terbaik.

“Sempena Syawal yang mulia ini, saya menyeru kita semua muhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU-15 akan datang.

“Kita mempunyai agenda lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan dibuat parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, selepas memenangi PRN lalu, beliau bersama barisan EXCO dan anggota pentadbira­n kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih melaksanak­an program pembanguna­n serta memenuhi aku janji yang dibuat.

Katanya, segala usaha terbabit untuk memastikan Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembanguna­n dan kemakmuran setanding negeri serta negara maju lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia