Berita Harian

Bekas setiausaha syarikat nafi ibu saudara Jho Low

-

Kes 1MDB

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha syarikat 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Goh Gaik Kim menafikan dakwaan beliau ibu saudara kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan Jho Low.

Gaik Kim membuat penafian itu ketika menjawab soalan peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraa­n penyelewen­gan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Saya bukan ibu saudara Jho Low. Malah, saya tiada sebarang pertalian dengan dia,” kata Gaik Kim.

Saksi ke-17 pendakwaan itu berkata, beliau pernah melihat Jho Low daripada jauh ketika makan tengah hari bersama seorang pengarah 1MDB dan Ketua Pegawai Operasi 1MDB ketika itu, Radhi Mohamad.

Menceritak­an lanjut mengenai pertemuan berkenaan, Gaik Kim berkata, pada ketika itu beliau tidak mengetahui siapa Jho Low.

“Apabila lelaki itu (Jho Low sampai), Radhi berkata, oohh itu Jho Low dan mereka berdua terus mendapatka­n Jho Low.

“Saya tanya siapakah Jho Low kerana pada pemikiran saya, sudah tentu dia ada kaitan dengan syarikat kerana mereka berdua pergi menyambut lelaki itu. Bagaimanap­un, mereka hanya diam,” katanya.

Gaik Kim berkata, beliau tidak dapat mengecam Jho melalui foto yang dirujuk peguam kerana beliau hanya melihat Jho Low sekali saja dan dari jauh.

Ditanya sama ada beliau pernah diberitahu oleh pengurusan kanan 1MDB, Jho Low memainkan peranan dalam syarikat 1MDB, saksi itu berkata; “Tidak, saya hanya tahu melalui media”.

Pada Jun 2019, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dilaporkan berkata bahawa Gaik Kim yang kini Setiausaha Syarikat TRX City Sdn Bhd, menafikan Jho Low anak saudaranya.

Pada ketika itu, satu laporan daripada portal perniagaan mendakwa Gaik Kim yang memegang jawatan setiausaha syarikat 1MDB sejak penghujung Mac 2011 hingga 2016 ibu saudara kepada Jho Low.

Gaik Kim memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang berdepan empat pertuduhan menggunaka­n kedudukann­ya untuk mendapatka­n rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitka­n jumlah yang sama.

 ?? (Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) ?? Gaik Kim hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) Gaik Kim hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia