Berita Harian

Penuntut IPT kena samun, dibelasah

- Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim nfazlina@bh.com.my

Anggota tentera, pemandu lori ditahan bantu siasatan

Kota Bharu: Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) cedera selepas ditumbuk di muka dan ditendang, sebelum disamun dan ditinggalk­an di tepi jalan oleh rakan lelakinya di Jalan Kedai Mulong, sini.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa bengkak dan lebam di muka, hidung sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata mangsa berusia 20-an itu dikatakan keluar bersama rakan lelakinya yang juga suspek jam 10 malam kelmarin, untuk makan malam di bandar ini.

Katanya, selesai makan malam, mangsa diajak oleh suspek supaya menemaniny­a untuk berjumpa dengan rakan suspek di hotel.

“Ketika berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan. Mangsa yang takut dan curiga dengan tindakan suspek menyebabka­n dia meminta suspek menghantar­nya pulang.

“Dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkar­an di antara suspek dan mangsa. Suspek memberhent­ikan kereta dan menumbuk serta menendang mangsa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa, sebelum meninggalk­an wanita berkenaan di tepi jalan. Mangsa kerugian RM3,000,” katanya semalam.

Beliau berkata, mangsa menghubung­i Balai Polis Nilam Puri, sebelum dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

“Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an, iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu jam 5.30 petang semalam, selepas mereka menyerah diri.

“Kedua-dua suspek dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

 ?? ?? Mohd Rosdi Daud
Mohd Rosdi Daud

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia