Berita Harian

Korea Utara sahkan kes pertama wabak

-

Seoul: Korea Utara secara rasmi mengesahka­n wabak COVID-19 pertama di negara itu semalam, dengan media kerajaan melaporkan sub varian Omicron yang sangat mudah merebak dikenali BA.2 dikesan di Pyongyang.

“Terdapat insiden kecemasan terbesar di negara ini selepas lebih dua tahun mengekang penularan wabak berkenaan,” kata media kerajaan.

Laporan itu berkata, individu di Pyongyang dijangkiti virus Omicron, bagaimanap­un tidak memberikan butiran lanjut mengenai angka kes atau kemungkina­n sumber jangkitan.

Laporan berkenaan diterbitka­n ketika pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mempengeru­sikan mesyuarat Parti Pekerja untuk membincang­kan tindak balas terhadap wabak pertama COVID-19.

Agensi berita rasmi KCNA berkata, Jong Un memberitah­u dalam mesyuarat berkenaan matlamatny­a adalah untuk menghapusk­an ‘akar’ virus dalam tempoh paling singkat.

“Beliau (Jong Un) memberi jaminan bahawa kerana kesedaran politik rakyat yang tinggi, kerajaan pasti akan mengatasi kecemasan dan memerangi penularan wabak itu,” katanya.

Jong Un turut meminta kawalan sempadan dan langkah penutupan yang ketat dengan memberitah­u rakyat untuk menyekat sepenuhnya penyebaran virus, termasuk di kawasan secara menyeluruh di semua bandar dan daerah di seluruh negara.

Korea Utara sebelum ini melaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada kes COVID-19 dilaporkan di negara itu selepas kira-kira 36,000 rakyatnya disaring.

Agensi Yonhap yang memetik laporan mingguan WHO mengenai COVID-19 melaporkan, 693 rakyat Korea Utara menjalani ujian saringan sejak 30 Julai sehingga 5 Ogos tahun lalu, menjadikan keseluruha­n 35,947 rakyat negara itu disaring tetapi tiada kes positif direkodkan.

Laporan itu mendedahka­n, daripada ujian terkini yang dijalankan, seramai 112 orang dikesan mempunyai gejala tetapi kemudian disahkan sebagai seperti selesema biasa atau penyakit pernafasan akut. REUTERS

 ?? (Foto AFP) ?? Penduduk berjalan di hadapan bendera Korea Utara ketika negara itu mengesahka­n kes pertama COVID-19, semalam.
(Foto AFP) Penduduk berjalan di hadapan bendera Korea Utara ketika negara itu mengesahka­n kes pertama COVID-19, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia