Berita Harian

Margaret syahdu sambut Aidilfitri

Kali pertama beraya sebagai saudara baharu, bintang veteran mengakui hidup lebih indah

- Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

Menyambut Syawal selepas melafazkan dua kalimah syahadah cukup menyentuh sanubari bintang veteran, Margaret Gan, 79, dalam meneruskan kehidupan yang masih bersisa.

Tidak asing dengan budaya hidup Melayu yang sering diamalkan sejak kecil, ketibaan lebaran kali ini memberi pengertian berbeza kepada Margaret atau nama sebenar, Gane Ee Kek selepas beroleh hidayah memeluk Islam, Februari lalu.

Tanpa berselindu­ng, Margaret mula dikenali sebagai pelakon bukan Melayu yang banyak membintang­i drama terbitan RTM pada era 1980-an, mengakui bahagia dan terasa indah menghirup udara 1 Syawal sebagai muslimah.

Kehadiran anak tunggal, Mohd Taufik Gan, 36, yang terlebih dahulu memeluk Islam, berkahwin dan memiliki dua anak, sejak 14 tahun lalu, memberi kenikmatan tidak terhingga kepada Margaret dalam menyambut fajar Syawal.

“Ramadan dan Syawal kali ini cukup berbeza. Saya betulbetul rasa nikmat berpuasa dan beraya.

“Biarpun hari raya jatuh ‘mengejut’ pada 2 Mei, bukan 3 Mei, saya tidak panik kerana sudah membuat persiapan awal.

“Saban tahun, sebelum memeluk Islam, saya sudah biasa menyiapkan apa yang penting. Namun, orang tua macam saya apalah yang hendak disediakan sangat.

“Lainlah orang muda hendak beli itu dan ini,” katanya berkongsi kemeriahan menyambut Aidilfitri sebagai mualaf kepada HIP.

Bercerita mengenai persiapan menyambut hari raya, Margaret berkata, dia membeli barang mentah untuk sajian Aidilfitri lebih awal.

“Sekarang semua canggih dan ‘order’ sahaja. Rebus ketupat paling mudah. Rendang atau kuah kacang, sudah siap dijual hanya perlu dipanaskan.

“Barang mentah seperti daging dan ayam saya beli awal dan simpan dalam peti sejuk. Sebaik diumumkan esok raya, saya keluarkan barang mentah dari peti sejuk untuk masak,” katanya.

Mengenai persalinan hari raya, Margaret sekadar bersederha­na.

“Mereka yang seronok hendak beraya adalah anak muda.

Hendak itu dan ini, semua serba baharu. Kita yang tua ini, biasa sahaja.

“Anak lelaki belikan saya persalinan serba ringkas. Saya sediakan lima hingga enam baju termasuk kebaya merah jambu dan blaus labuh untuk digayakan dengan seluar panjang.

“Kalau dahulu, blaus saya lengan pendek. Tetapi sejak menjadi saudara baharu, anak saya belikan blaus lengan panjang untuk disesuaika­n dengan imej bertudung,” katanya.

Tambah pelakon kelahiran Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling ini, baju kebaya umpama pakaian wajib yang digayakan sejak dahulu.

“Sebelum Islam, kalau beraya ada yang bertanya kenapa tidak pakai baju kebaya. Dahulu saya malas hendak pakai kebaya yang mengikut potongan badan.

“Apabila makan, kita kena pantau. Maklumlah takut penuh perut, nanti tak lawa berkebaya. Tetapi itulah orang kata beauty is pain. Hendak melawa, kenalah jaga makan.

“Tetapi sekarang kebaya merah jambu saya agak longgar dan sesuai dengan imej diri. Jadi, bolehlah makan banyak,” katanya yang menyambut Aidilfitri di Seputeh bersama keluarga kecil anaknya.

Margaret berkata, dia dan anaknya pulang ke kampung halaman menantu di Tanjung Malim, Perak petang Syawal pertama.

“Disebabkan mahu mengelak kesesakan lalu lintas, saya, anak dan menantu sepakat bergerak petang raya. Menantu sudah maklumkan perancanga­n kami kepada keluargany­a.

“Apabila beraya di rumah orang, saya paling gemar makan kuah lodeh. Itulah menu yang saya cari di rumah keluarga besan atau di kediaman teman,” katanya.

Lebih menyeronok­kan, Margaret dibawa beraya di Terengganu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzain­i Ab Rahman selama empat hari mulai Syawal keempat.

Rombongan itu diuruskan Kelab Akademi Wan Maimunah yang mengundang 20 artis veteran melawat Terengganu.

“Kami menaiki bas disewa dan Wan Maimunah jadi ‘kepala’ kami. Seronok dapat bercuti dengan kawan, selain memenuhi aktiviti dirancang. Makan angin sambil beraya,” katanya.

Terus bercerita, Margaret berkata, dia mula berpuasa enam yang dilakukan secara berperingk­at.

“Namun, apabila ada jemputan raya, saya tidak boleh berpuasa. Takkanlah hendak elak jemputan dengan beri alasan berpuasa.

“Sedangkan Syawal inilah momen terbaik untuk mengeratka­n silaturahi­m. Jadi saya kena rancang masa terbaik untuk menghabisk­an puasa enam.

“Puasa enam pun sunat, tapi besar manfaatnya kerana seperti berpuasa setahun. Ada ketika saya masak seringkas mungkin untuk berbuka atau makanan dibeli anak,” katanya.

Margaret turut berkongsi rahsia menjaga kesihatan pada usia emas dengan mengamalka­n minum empat gelas air kosong setiap hari sebaik bangun tidur.

“Saya amalkan minum empat gelas air kosong sejak dua tahun lalu secara konsisten. Semuanya bermula gara-gara tahap kolesterol dalam badan meningkat.

“Dalam tempoh amalan itu, tahap kolesterol saya turun ke paras normal. Jadi, bangun pagi sebelum solat Subuh, saya minum air empat gelas.

“Tapi saya pastikan tidak menggosok gigi. Sebelum cuci mulut dan masih ada air liur, digalak minum air empat gelas. Selepas sejam, saya boleh nikmati sarapan,” katanya.

Margaret juga bersyukur tidak menghidap penyakit memudaratk­an termasuk tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

“Cuma baru-baru ini, mata kanan saya sedikit kabur. Doktor sahkan ada katarak. Saya sedang menunggu temu janji dengan klinik kerajaan untuk langkah seterusnya sama ada perlu dibuat pembedahan atau mencari alternatif lain,” katanya.

Margaret bersama anak lelaki tunggalnya, menantu dan dua cucu.

Apabila beraya di rumah orang, saya paling gemar makan kuah lodeh. Itulah menu yang saya cari di rumah keluarga besan atau di kediaman teman Margaret Gan,

Pelakon

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia