Berita Harian

Yasin cipta lagu dalam tahanan

-

Bebaskan Aku luah emosi penyanyi Mimpi Laila, dedikasi buat insan tersayang

Oleh Farihad Shalla Mahmud

farihad@bh.com.my

Emosi yang bersarang tatkala dalam tahanan diluahkan Yasin Sulaiman yang berdepan tuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja, melalui untaian berjudul Bebaskan Aku seperti dikongsi komposer dan penyanyi itu di Instagram (IG), baru-baru ini.

Melalui nukilannya, dapat dilihat Yasin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak lebih sebulan lalu, menterjema­h segala gelodak jiwa yang dirundung sedih, sepi dan dibelenggu rindu.

Mengiringi perkongsia­n berbentuk lirik empat rangkap itu adalah pesanan penyanyi lagu Mimpi Laila itu yang mahu lagu berkenaan dikongsi kepada mereka yang cukup dekat dalam hatinya.

“Lagu in dicipta Yasin ketika (ditahan) di Penjara Sungai Buloh. Yasin meminta lirik lagu ini dikongsi di IG untuk sahabat, teman dan peminat,” jelas kapsyen mengiringi entri berkenaan.

Turut disertakan latar masa lagu terbabit ditulis iaitu pada Syawal 1443 Hijrah bersamaan Mei 2022.

Menyorot setiap baris lirik yang ditulis Yasin bersama seorang teman dikenali sebagai Jo Tan, Yasin memulakan bicaranya dengan cuba meyakinkan dirinya dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Ku utuskan kata-kata di sebalik tirai besi, tanpa dapat kutitiskan air mata sepi, bila ku katakan semuanya baik di sini, ku tak ingin mengaku rasa susah hati,” luahnya.

Menyoroti bait nukilannya, jelas Yasin meluahkan betapa dirinya enggan terus terseksa disebabkan kebebasan yang diragut.

Malah, bekas anggota kumpulan nasyid Brothers itu berharap dapat kembali mengecap kebebasan dan meneruskan kehidupan seperti dahulu.

“Tuhan lepaskan aku dari rantai ini, berikanku cahaya dari kegelapan ngeri, ku ingin kembali pada yang ku kasihi, dan hidup seperti dulu lagi,” coret Yasin pada rangkap ketiga lagu itu.

Meninjau ruangan komen, ramai peminat termasuk rakan selebriti menitipkan doa agar Yasin tabah mengharung­i ujian itu serta percaya ada hikmah yang menanti di sebalik musibah yang berlaku itu.

Kisah penahanan pemegang trofi juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2001 ini mendapat liputan meluas dan menarik perhatian ramai.

Malah ada yang bersimpati dengan nasib yang menimpa penyanyi yang terkenal dengan konsep ‘World Music’ itu selepas mendapat tahu dia bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Yasin tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamanny­a di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 24 Mac lalu.

 ?? ?? Yasin memberi dedikasi lagu dicipta kepada insan tersayang dan berkongsi emosi dirinya sekarang.
Yasin memberi dedikasi lagu dicipta kepada insan tersayang dan berkongsi emosi dirinya sekarang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia