Berita Harian

Pandemik jentik hati Ippo untuk berhijrah

-

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun lalu menjentik hati komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz merenung semula kehidupan.

Terlalu leka dengan urusan dunia sehingga lalai mendekatka­n diri dengan Tuhan, mendorong Ippo atau nama sebenar, Muhammad Hafiz Yaziz membuka lembaran baharu dan beristiqam­ah untuk menjadi hamba-nya yang lebih baik.

Hidayah yang diterima sejak awal 2020 dimanfaatk­an sebaik mungkin dengan saban hari Ippo belajar perkara baharu dalam mendekatka­n dirinya dengan agama.

“Selama ini, saya banyak diberi kesedaran dan keinsafan. Sebelum pandemik, terlalu banyak urusan dunia saya utamakan sehingga lalai dalam perkara yang mendekatka­n diri dengan Allah.

“Alhamdulil­lah, saya dapat hidayah pada era pandemik. Musibah yang didatangka­n Allah bersama hikmah yang sangat besar untuk kita semua.

“Semua ini membuka erti di sebalik ujian dan peluang yang datang," katanya kepada HIP.

Ippo berharap dirinya terus istiqamah dan diberi petunjuk lebih baik.

“Selama ini, saya mengaku diri pendosa kerana banyak melebihkan urusan dunia berbanding menjaga hubungan dengan Allah.

“Dahulu, saya sedar tidak ikut perintah Allah kerana selalu tunggu untuk mendapat hidayah. Sebenarnya, kita yang perlu minta daripada-nya.

“Jika diikutkan, sehari Allah hanya minta kita luangkan waktu sekejap sahaja bersamanya dalam solat.

“Lama-kelamaan, saya malu dengan diri sendiri. Jadi, setiap kali tidur, saya selalu berdoa supaya pergi dalam iman. Saya juga selalu minta ibu bapa serta orang yang tidak dikenali beri hadiah untuk doakan saya,” katanya.

Biarpun mula berhijrah, Ippo mengakui dirinya masih individu sama.

“Penghijrah­an ini bukan disebabkan pengaruh orang lain. Saya bersyukur saat Allah membuka hati dan cuba berusaha menjadi manusia lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah orang keliling saya,” katanya.

Sementara itu, beberapa bulan lalu, Ippo yang mendapat jolokan Raja Runut Bunyi sempat menganjurk­an dua projek amal di Kuantan, Pahang, bagi membantu insan memerlukan.

“Sebelum Ramadan saya anjurkan showcase amal di Taman Bandar Kuantan. Pada akhir Ramadan pula saya anjurkan busking amal di Pasor Dinda.

“Kita dapat mengutip lebih RM1,000 dan diagihkan kepada enam keluarga di Tanjung Lumpur,

Kuantan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya yang mendapat kerjasama Yayasan redone bagi menjayakan program busking amal itu.

Ippo yang juga suami kepada Fara Roslan berharap program amal seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dalam perkembang­an lain, Ippo terus berkarya dengan cara tersendiri.

“Saya dalam proses menyiapkan lagu ciptaan bersama penyanyi Rendy Faliq berjudul Berbagi Cinta. Lagu itu sudah 80 peratus siap.

“Pada mulanya, Rendy buat demo lagu ini. Kemudian, saya olah dan gabungkan apa yang sesuai mengikut permintaan dan cita rasa Rendy,” katanya yang berharap Berbagi Cinta menjadi pilihan penerbit drama sebagai runut bunyi.

Tambah Ippo, lagu berkenaan berkisar perlunya manusia berkongsi cinta dan kasih sayang demi mewujudkan hubungan harmoni.

Selain itu, Ippo bakal tampil dengan single duet bersama pelakon Zara Zya, tidak lama lagi.

Ippo menyantuni golongan memerlukan melalui program amal.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia