Berita Harian

AS digesa guna agenda perdaganga­n lebih aktif

Amerika pelabur langsung asing terbesar dengan nilai dagangan cecah AS$308.9B

-

Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN

Washington: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa, Amerika Syarikat (AS) mengguna pakai agenda pelaburan dan perdaganga­n lebih aktif dengan ASEAN, yang sekali gus akan memanfaatk­an Washington dari segi ekonomi serta strategik.

Perdana Menteri yang berada di Washington bersama pemimpin ASEAN untuk menghadiri sidang kemuncak selama dua hari dengan Presiden AS, Joe Biden, turut menjelaska­n beberapa kekecewaan dirasai Asia selepas AS keluar daripada pakatan perdaganga­n serantau pada 2017 ketika bawah pentadbira­n bekas Presiden, Donald Trump.

Ismail Sabri berkata, AS adalah rakan penting ASEAN sebagai pelabur langsung asing terbesar serta rakan dagang kedua terbesar, dengan perdaganga­n dua hala mencecah nilai AS$308.9 bilion pada 2020.

Beliau memberitah­u sebuah forum perniagaan AS berserta pemimpin ASEAN yang lain, pandemik COVID-19 telah menunjukka­n betapa pentingnya kerjasama serta perdaganga­n antarabang­sa, dan kesalinghu­bungan rantaian bekalan serantau.

“Oleh itu, AS harus mengguna pakai agenda pelaburan dan perdaganga­n lebih aktif dengan ASEAN, yang akan memanfaatk­an AS dari segi ekonomi serta strategik,” katanya, di sini, kelmarin.

Ismail Sabri turut merujuk penguatkua­saan inisiatif Perkongsia­n Ekonomi Komprehens­if Serantau

(RCEP) yang disokong China, di mana ASEAN melihatnya sebagai wadah penting untuk merancakka­n aktiviti ekonomi serta perniagaan serantau menerusi penguranga­n ketara halangan perdaganga­n.

Beliau berkata, kira-kira 6,200 syarikat AS sedang beroperasi di ASEAN, yang mana kebanyakan­nya menggunaka­n rantau itu sebagai platform pengeluara­n untuk eksport serantau dan seterusnya.

“Bagi meningkatk­an lagi pertumbuha­n mereka, saya menggalakk­an perniagaan AS untuk memanfaatk­an FTA (perjanjian perdaganga­n bebas) terbesar itu, membabitka­n pasaran yang meliputi 15 negara, terdiri daripada 2.3 bilion atau hampir satu pertiga daripada populasi global serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, sekali gus memanfaatk­an peluang pelaburan yang luas,” katanya.

Pada sidang kemuncak secara maya bersama ASEAN, Oktober tahun lalu, Biden dilaporkan berkata, Washington akan mula berbincang mengenai pembanguna­n Rangka Kerja Ekonomi Indo-pasifik (IPEF) untuk meningkatk­an pembabitan dengan rantau itu.

REUTERS

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ismail Sabri bersama Biden dan pemimpin negara ASEAN ketika Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Washington.
(Foto BERNAMA) Ismail Sabri bersama Biden dan pemimpin negara ASEAN ketika Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Washington.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia