Berita Harian

Perbahasan RUU larangan bertukar parti dijangka Jun

- Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my

Jawatankua­sa pilihan khas sepakat dalam hampir semua perkara dasar

Putrajaya: Jawatankua­sa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-undang (RUU) Perlembaga­an (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai penggubala­n RUU itu.

Keputusan dicapai pada mesyuarat jawatankua­sa itu di Parlimen semalam, selaras dengan usul mengikut Peraturan Mesyuarat 54(2) dan Penubuhan Jawatankua­sa Pilihan Khas di bawah Peraturan 81(1) Majlis Dewan Rakyat yang diluluskan pada sidang Mesyuarat Khas pada 11 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dengan keputusan itu beliau berharap RUU itu akan dibentangk­an pada sidang khas Parlimen di bawah Peraturan 11(3) atas budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pertimbang­an jemaah Menteri.

Hingga kini, prestasi jawatankua­sa itu adalah sangat menggalakk­an dengan sokongan semua ahli, termasuk kerjasama daripada Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Jawatankua­sa Pilihan Khas Parlimen ini juga sudah mendapatka­n pandangan bertulis (written submission) daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Masyarakat Madani (CSO), parti politik serta pakar akademik berkaitan parameter gubalan RUU ini dan mesyuarat ini turut meneliti pandangan bertulis itu sebelum RUU ini dapat dimuktamad­kan.

“Segala prosiding dalam Jawatankua­sa Pilihan Khas ini akan direkodkan dalam satu penyata selaras dengan ketetapan Peraturan Mesyuarat 80 (1),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, penyata itu akan dibentangk­an kepada Ahli Jawatankua­sa Pilihan Khas untuk mendapat persetujua­n dan seterusnya akan dibentangk­an serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang dicadang untuk diadakan pada Jun ini.

“RUU ini dicadang akan dibentang dan dibahaskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada masa yang ditetapkan nanti,” katanya.

Jawatankua­sa Pilihan Khas Parlimen itu dipengerus­ikan oleh Wan Junaidi dengan ahlinya terdiri daripada Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Lukanisman Awang Sauni, Gobind Singh Deo, Mohamed Hanipa Maidin,

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Datuk Ignatius Dorell Leiking.

Jawatankua­sa itu akan bermesyuar­at semula pada 19 Mei ini untuk meneliti draf RUU yang disediakan Jabatan Peguam Negara berpanduka­n maklum balas yang diterima menerusi semua keputusan dasar dan perincian tafsiran yang dibuat mesyuarat semalam.

“Berdasarka­n usul yang dibentangk­an ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April lalu, Jawatankua­sa Pilihan Khas ini diberi tempoh masa satu bulan untuk menyediaka­n penyata.

“Bagaimanap­un, jawatankua­sa boleh melanjutka­n tempoh pembentang­an penyata kepada Parlimen mengikut usul yang sama bagi tujuan memperhalu­si draf RUU dan Penyata Parlimen,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia