Berita Harian

Pindaan perlembaga­an dijangka dapat sokongan

- Oleh Mahani Ishak mahani@bh.com.my

Mesyuarat Agung Luar Biasa UMNO

Pemimpin diminta waspada kemungkina­n timbul kesan negatif

Kuala Lumpur: Pemimpin UMNO diminta berwaspada menangani kemungkina­n timbulnya beberapa kesan negatif daripada tindakan perwakilan meluluskan pindaan perlembaga­an parti dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan esok.

Penganalis­is politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaa­n, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid, berkata pindaan perlembaga­an UMNO dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan penuh perwakilan.

“Perwakilan yang akan hadir adalah pemimpin tertinggi di peringkat bahagian dan sayap, bakal mendapat manfaat langsung daripada kelulusan pindaan perlembaga­an yang akan memanjangk­an tempoh memegang jawatan pemimpin sedia ada.

“Persoalan yang timbul adalah dari segi etika, apakah pindaan perlembaga­an itu akan memberikan imej yang baik kepada UMNO yang sebelum ini bermati-matian mahu mentransfo­rmasikan agar parti itu dapat diremajaka­n serta didemokrat­ikkan.

“Meminda Klausa 10.16 bagi memanjangk­an tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) dilangsung­kan sudah pastilah tidak selari dengan hasrat untuk lebih meremajaka­n dan mendemokra­tikkan parti.

“Apabila pemimpin sedia ada diberi ruang untuk berkuasa terlalu lama maka tentunya peluang untuk pemimpin muda naik ke atas akan lebih tertutup begitu juga dengan peluang untuk ahli biasa membuat perubahan dalam parti akan tersekat.

“UMNO juga berkemungk­inan berhadapan dengan persepsi negatif bahawa ia adalah usaha terakhir pihak tertentu yang takut mengalami kekalahan jika pemilihan parti diadakan dalam tempoh sebenar untuk menyelamat­kan kedudukan mereka.

“Semua perkara ini perlu difikirkan semasak-masaknya dan dijelaskan dengan terang oleh kepimpinan kepada ahli dan rakyat bagi mengelakka­n imej UMNO terjejas“, katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Shekh Alsagoff, pula melihat daripada sudut implikasi pindaan perlembaga­an ini kepada UMNO jika ia tidak diluluskan.

“Seingat saya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS), Jasri Kasim, pernah dilaporkan berkata pada 10 Ogos 2021 bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ yang hanya boleh melaksanak­an tugas urusan hal ehwal pentadbira­n .

“Pasti akan ada pertanyaan apakah memanjangk­an tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu PRU dilangsung­kan boleh dilakukan melalui inisiatif MKT UMNO yang berfungsi sebagai ‘caretaker’ sahaja,” katanya.

Menjelaska­n lebih lanjut, katanya, ROS akan terpaksa membuat pertimbang­an yang adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntuk­kan dalam Akta Pertubuhan sama ada meminda salah satu perkara asas dalam perlembaga­an boleh dilakukan tatkala MKT UMNO menjadi ‘caretaker’.

“Begitu juga dengan takrif ‘selepas masa enam bulan sesuatu PRU dilangsung­kan’ yang tidak spesifik dan begitu subjektif yang boleh dipersoalk­an apakah ia bertepatan dengan peruntukan lain dalam akta mahupun Perlembaga­an negara,” katanya.

Mohd Noor Mat Yazid

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia