Berita Harian

Pemandu lori mengaku tak bersalah rompak penyampai berita

-

Petaling Jaya: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merompak penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan di Damansara Perdana di sini, awal bulan ini.

Muhammad Qayyum Mazlan, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak beg bernilai RM500 dan wang tunai RM100 milik Khairul Rizuan di tepi jalan berhampira­n Exclusive Perdana di Damansara Perdana, di sini, pada jam 3.40 petang 5 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashima­h Hashim yang mengendali­kan kes tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan terdapat kemungkina­n tinggi tertuduh akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan lain.

Peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh bagaimanap­un berkata, walaupun kesalahan itu tidak dibenarkan jamin, namun mahkamah boleh menggunaka­n budi bicara untuk memberikan ikat jamin mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

“Saya mohon jaminan paling rendah diberikan kerana tertuduh akan dijamin oleh bapanya yang berniaga di pasar malam.

“Tertuduh pula hanya bekerja sebagai pemandu lori sementara dan menanggung keluarga serta seorang anak lelaki berusia lapan tahun yang bersekolah di Teluk Intan di Perak,” katanya.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, serta perlu melapor diri di balai polis berhampira­n tempat tinggal sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik ditahan bagi membantu siasatan kes membabitka­n Khairul Rizuan yang cedera diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap kereta miliknya itu.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas pelakon dan penyanyi, Janna Nick yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun Instagram dan Tiktok.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Muhammad Qayyum tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.
(Foto BERNAMA) Muhammad Qayyum tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia