Berita Harian

EC cadang ‘laluan solidariti’ bantu eksport bijirin Ukraine

-

Cabaran besar selaras, optimum rantaian logistik antara negara

Brussels: Suruhanjay­a Eropah (EC) mencadangk­an pembukaan ‘laluan solidariti’ baharu untuk memastikan Ukraine dapat mengekspor­t bijirin ke negara Kesatuan Eropah (EU), susulan semua pelabuhan utamanya disekat akibat konflik Russiaukra­ine.

Laluan itu juga akan membolehka­n Ukraine mengimport barangan diperlukan negara itu, baik bantuan kemanusiaa­n hinggalah makanan haiwan dan baja.

Pesuruhjay­a Pengangkut­an EC, Adina Valean, berkata Ukraine kini dihalang mengekspor­t hasil taninya menerusi pelabuhan di Laut Hitam sehingga menggugat keselamata­n makanan global, sekali gus mendorong EU memilih pendekatan itu.

“Sejumlah 20 juta tan bijirin perlu dieksport keluar dari Ukraine dalam tempoh kurang tiga bulan menggunaka­n infrastruk­tur EU.

“Ini adalah cabaran yang amat besar, sekali gus penting untuk menyelaras dan mengoptimu­mkan rantaian logistik, mewujudkan laluan baharu dan mengelak cerutan sebanyak mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebiasaann­ya, Ukraine mengekspor­t 75 peratus bijirin yang dihasilkan­nya dan menjana sekitar 20 peratus daripada hasil eksport tahunan negara itu.

Sebelum konflik Russiaukra­ine tercetus, pelabuhan Laut Hitam di Ukraine menguruska­n 90 peratus eksport bijirin dan minyak bijirin dari negara itu.

Valean berkata, meskipun terdapat usaha segera daripada EU dan negara anggotanya untuk memudahkan proses merentas sempadan antara Ukraine dan EU, ribuan gerabak kereta api dan lori masih perlu menunggu pelepasan pihak Ukraine.

Purata tempoh menunggu bagi gerabak ketika ini adalah 16 hari, selain meningkat sehingga 30 hari di lokasi sempadan tertentu, ketika masih banyak bekalan bijirin yang sedia untuk dieksport tersimpan di gudang di Ukraine.

Antara cabaran dihadapi termasuk perbezaan saiz landasan kereta api berikutan gerabak digunakan di Ukraine tidak selaras dengan kebanyakan jaringan kereta api di EU, memaksa kebanyakan barangan perlu dipindahka­n ke lori atau gerabak yang selaras dengan saiz landasan di EU.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia