Berita Harian

Lebih ramai warga Malaysia mohon kerja di Singapura

-

Singapura: Jumlah iklan pekerjaan dan pemohon pekerjaan dari Malaysia meningkat selepas kedua-dua negara membuka sempadan 1 April lalu, menurut perangkaan beberapa gerbang pekerjaan.

Dalam tempoh empat minggu selepas pengumuman pembukaan semula sempadan pada 24 Mac lalu, bilangan iklan pekerjaan di Fastjobs meningkat 15 peratus berbanding setahun lalu, kata syarikat Fastjobs.

Bilangan pekerja Malaysia yang membuat permohonan kerja juga meningkat berlipat ganda berbanding setahun lalu atau empat minggu sebelumnya.

Dari 20 Mac hingga 16 April, terdapat 7,500 pemohon pekerjaan warga Malaysia dalam Fastjobs, naik tiga kali ganda berbanding 2,538 setahun lalu, kata Fastjobs kepada The Business Times Singapura.

Ia juga meningkat 2.5 kali berbanding 2,918 pemohon dari 20 Februari hingga 19 Mac.

Sempadan yang dibuka antara Malaysia dengan Singapura pada 1 April membolehka­n mereka yang menerima suntikan vaksin penuh COVID-19 untuk memasuki kedua-dua negara tanpa ujian coronaviru­s atau kuarantin.

Satu lagi gerbang pekerjaan, Jobstreet, juga melihat iklan dan pemohon pekerjaan meningkat sejak sempadan dibuka, namun enggan memberikan perangkaan pemohon dari Malaysia.

Pengarah urusan Jobstreet Singapore, Chew Siew Mee, berkata beberapa sektor menyumbang kepada kenaikan iklan pekerjaan termasuk sumber manusia (HR), pendidikan, makanan dan minuman (F&B), serta runcit.

Pengurus besar Fastjobs Singapore, Lim Huishan, menjangkak­an pemulihan dan permintaan lebih tinggi dalam pelbagai sektor ketika syarikat memulakan usaha menggajika­n semula pekerja, termasuk sektor pelanconga­n.

Tambah beliau, kebanyakan iklan pekerjaan Fastjobs termasuk pergudanga­n, logistik, pelayan, F&B, penjualan, runcit, pemasaran dan khidmat pelanggan.

Pemangku Presiden Persekutua­n Pengilang Singapura (SMF), Ryan Chioh, berkata beberapa anggotanya menggajika­n rakyat Singapura pada April lalu, yang menyumbang kepada peningkata­n antara 20 dengan 50 peratus.

Namun, tambah beliau, ada juga anggotanya melihat lebih ramai pekerja Malaysia yang pulang ke negara mereka.

Presiden Persatuan Pengurusan Makanan & Minuman (FBMA), Kung Teong Wah, berkata hotel menyaksika­n peningkata­n 10 hingga 15 peratus dalam permohonan kerja dari Malaysia tetapi banyak syarikat pengurusan hotel sudah mencapai tahap maksimum kuota warga asing dalam jumlah pekerja mereka.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia