Berita Harian

The Reds, Tottenham bakal kempunan?

-

Hanya dua lagi perlawanan akan menentukan sama ada Manchester City mampu mempertaha­nkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini. Menunggu skuad Pep Guardiola ini adalah West Ham, malam esok dan Aston Villa pada 22 Mei.

Ketika ini, City berada di puncak liga dengan himpunan 89 mata selepas 36 aksi, berkelebih­an tiga mata ke atas Liverpool di tangga kedua, yang turut memiliki jumlah baki perlawanan serupa.

Selain itu, mereka juga memiliki jumlah perbezaan gol lebih tinggi berbanding The Reds iaitu tujuh. Dengan dua baki aksi ini, skuad Guardiola hanya memerlukan empat mata lagi untuk dinobatkan juara musim ini.

Mampukah City mengutip empat mata atau lebih dari dua aksi terakhir itu? Rasanya, Guardiola tiada masalah berbuat demikian. Selepas tersingkir dari Liga Juara-juara dan dua piala domestik, inilah kejuaraan tunggal yang tinggal untuk mereka dakap musim ini.

West Ham yang ditemui malam esok, rasanya bukan halangan besar. Begitu juga Aston Villa yang akan dihadapi pada aksi terakhir liga. Hanya kesilapan sendiri yang akan mengecewak­an City untuk mepertahan­kan kejuaraan, sekali gus menghampak­an Liverpool.

Liverpool pula tidak beraksi hujung minggu ini, sebaliknya berentap pada final Piala FA menentang Chelsea malam ini. Mereka dijadual berkunjung ke Southampto­n pada Rabu dan sekiranya menang, perebutan kejuaraan sudah pasti akan ditentukan pada hari terakhir liga minggu depan. Wolves menjadi kelab terakhir ditemui skuad Jurgen Klopp.

Sementara itu, perebutan dua lagi slot ke Liga Juara-juara musim depan masih terbuka antara tiga kelab iaitu Chelsea, Arsenal dan Tottenham. Kekalahan 3-0 The Gunners kepada Tottenham kelmarin membuka semula perebutan slot ini.

Antara ketiga-tiga pasukan ini, Chelsea memiliki peluang paling cerah layak, selepas mendahului Arsenal dengan empat mata dan Tottenham (lima mata) ketika berbaki dua aksi lagi.

The Blues hanya perlu menang aksi bertemu Leicester pada 20 Mei untuk mengesahka­n tempat. Sebaliknya, Arsenal perlu menang aksi berdepan Newcastle, Selasa ini dan Everton minggu depan manakala Tottenham tiada pilihan, kecuali menang juga dua baki aksi.

Sementara itu, perebutan untuk terus kekal saingan EPL musim depan, kini membabitka­n tiga pasukan iaitu Everton, Burnley dan Leeds. Sebelum ini, Watford dan Norwich sah sudah tersingkir.

Leeds ketika ini dalam zon penyingkir­an selepas menghimpun 34 mata dari 36 aksi manakala Burnley di tempat ke-17 dengan 34 mata juga, berbaki tiga aksi manakala Everton memiliki 36 mata dengan tiga aksi dalam tangan. Selamat menonton.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia