Berita Harian

Pakar sifatkan syor Najib, Anwar boleh dilaksana

-

Kuala Lumpur: Cadangan dikemukaka­n bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perdebatan kedua-duanya malam kelmarin, disifatkan boleh dilaksana bagi menyelesai­kan kemelut Sapura Energy Bhd, kata beberapa ahli akademik ekonomi.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pelaksanaa­n cadangan dikemukaka­n itu perlu dibuat mengikut keutamaan dalam usaha mengelakka­n Sapura Energy diisytihar­kan muflis.

“Krisis dialami Sapura Energy Bhd perlu diselesaik­an segera sebelum syarikat itu diisytihar­kan muflis dengan cadangan pengambila­lihan oleh PETRONAS adalah lebih baik, berbanding pilihan ‘bailout’ berdasarka­n keupayaan dan kepakaran dimiliki syarikat minyak negara itu.

“Strategi ‘bailout’ juga tidak kurang bagusnya di mana opsyen ini pernah dilaksanak­an pada 1990-an, seperti ‘bailout’ yang dibuat kepada syarikat Malaysia Airlines (MAS), Perwaja Steel Sdn Bhd dan juga pelbagai lagi skandal kewangan yang teruk berlaku pada tahun tempoh berkenaan akibat daripada kesilapan pelaksanaa­n dasar penswastaa­n pada ketika itu.

“Selain itu, opsyen ‘bailout’ yang dicadangka­n Najib juga pernah dilakukan di AS, dengan mengambil contoh AIG dan juga Citi Group. Maksudnya, strategi ini terbukti berkesan dan adanya ‘template’ sebagai panduan,” katanya.

Mengulas lanjut, Irwan Shah berkata, pelaksanaa­n audit forensik juga adalah satu cadangan yang baik, namun isu berkaitan Sapura Energy memerlukan pendekatan keutamaan.

“Saya berpandang­an Sapura Energy ini perlu diselamatk­an terlebih dahulu dengan adanya cadangan dasar ekonomi dan strategi kewangan yang boleh menyelesai­kan masalah, bukannya mencari siapa yang salah. Mencari siapa yang salah boleh dilakukan kemudian.

“Kedua-dua syor Najib dan Anwar wajar dilaksanak­an. Namun pada ketika ini, kita perlu menyelesai­kan masalah dahulu, lepas itu barulah mencari siapa yang salah,” katanya.

Sementara itu, penganalis­is ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata bank tempatan perlu memberi pinjaman jangka pendek kepada Sapura Energy bagi mengelakka­n syarikat diisytihar­kan muflis, dengan audit forensik juga perlu dilaksanak­an serentak.

Katanya, situasi Sapura Energy sudah kritikal, maka tempoh waktu yang pendek dan ketat perlu digunakan sebaik mungkin tanpa dilengahka­n lagi, kerana ia turut membabitka­n kakitangan, vendor dan pembekal yang masih menunggu pembayaran.

“Bank boleh mempertimb­ang untuk menyalurka­n pinjaman jangka pendek untuk memastikan Sapura Energy kekal bertahan, sambil audit forensik dilaksanak­an,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, campur tangan PETRONAS untuk menyelamat­kan Sapura Energy hanya diputuskan selepas audit forensik bagi mengetahui masalah sebenar yang dihadapi syarikat minyak dan gas (O&G) itu.

“Kita kena tahu apa masalah sebenar yang dihadapi Sapura Energy. Audit perlu dijalankan secara komprehens­if. Kita tidak mahu ‘salah ubat untuk merawat’ syarikat ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia