Berita Harian

Tiada petugas kesihatan lapangan anggotai HWCITF

-

Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan menyuaraka­n kegusaran berikutan tiada petugas kesihatan di lapangan atau yang mewakili sektor perubatan dilantik menganggot­ai Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahba­ikan Budaya Kerja Perkhidmat­an Kesihatan (HWCITF).

NGO berkenaan terdiri Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA); Hartal Doktor Kontrak; Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM); Doktor Malaysian Medics Internatio­nal (MMI Doctors) dan Rangkaian Doktor Muda (JDN) MMA.

Dalam kenyataan bersama semalam, NGO itu berkata, mereka mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas itu sebagai sebahagian usaha memperbaik­i persekitar­an pekerjaan yang lebih baik bagi semua warga kesihatan dalam sektor kerajaan.

Menurut mereka, keanggotaa­n pasukan petugas khas itu seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kelmarin, juga dilihat terdiri daripada individu yang berkaliber dalam bidang masing-masing.

“Bagaimanap­un, kami gusar dengan ketiadaan wakil daripada barisan petugas kesihatan di lapangan sendiri, mahu pun wakil NGO perubatan yang mewakili ramai warga kesihatan. Kami harap ini tidak menidakkan suara doktor bertungkus lumus di wad dan klinik,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, Khairy mengumumka­n lapan anggota HWCITF, yang dipengerus­ikan Bekas Ketua Setiausaha Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, antara lain bagi menyiasat kematian pegawai pelatih perubatan dan dakwaan budaya buli dalam perkhidmat­an kesihatan.

Anggota lain, bekas Ketua Pegawai

Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabang­sa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Ia turut dianggotai Pakar Perunding Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-lin; pakar bidang komunikasi dan media, keselamata­n pesakit, pembanguna­n jenama serta pengurusan krisis, Manvir Victor.

Selain itu, pakar penilaian, membangun dan melatih ketua pegawai eksekutif (CEO), eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakr­ishnan Balasubram­anian serta wakil Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA).

Lima NGO itu berkata, melalui pertubuhan atau persatuan perubatan, suara warga kesihatan diangkat bagi menyelesai­kan isu buli dan salah laku dalam kalangan warga Kementeria­n Kesihatan (KKM).

“Jika wakil persatuan yang membawa suara mereka di lapangan tidak diendahkan, maka sebarang usaha untuk mencari penyelesai­an akan menjadi lebih sukar,” kata kenyataan itu.

Mereka juga memaklumka­n, pihak persatuan sudah mendapatka­n maklum balas, aduan dan saranan wakil setiap kelompok warga kesihatan, termasuk pegawai perubatan siswazah sehinggala­h pakar perubatan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Boi Saidi Abd Razak, dalam nada sama, turut menekankan keperluan wakil NGO perubatan dalam keanggotaa­n HWCITF.

“Barisan yang dilantik cukup mantap, tetapi sayangnya tiada wakil daripada NGO pemegang taruh kesihatan. Wakil NGO perubatan perlu dibabitkan dalam barisan ini kerana kami juga memiliki pandangan tersendiri mengenai isu buli,” katanya.

Dr Boi Saidi berharap pasukan petugas khas dapat merangka satu rangka kerja bagi mencari penyelesai­an masalah itu, selain mencadangk­an satu definisi jelas diberikan bagi tindakan buli doktor pelatih supaya dapat dijadikan panduan semua pihak.

Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia