Berita Harian

Kes melonjak kepada 28,957 sehingga kelmarin

-

Rembau: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini melonjak kepada 28,957 sejak awal tahun hingga kelmarin berbanding tempoh sama 4,239 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata lonjakan kes itu bagaimanap­un dijangka kerana orang ramai mula bergerak, selain sekolah, Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) dibuka untuk kanak-kanak.

“Memang peningkata­n kes agak mendadak tetapi dijangkaka­n kerana sepanjang tahun lalu banyak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh keluar, sekarang ini dibenarkan keluar, lebih-lebih lagi dibuka dengan sektor pendidikan dan sebagainya maka kes HFMD akan meningkat,” katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kementeria­n Kesihatan (KKM) di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yatim Gadong, Kota di sini, semalam.

Beliau berkata, KKM akan mengawal penularan wabak berkenaan melalui hebahan kepada orang ramai mengenai titik panas HMFD dan ia boleh dilihat melalui aplikasi Mysejahter­a terhadap keadaan kes berkenaan di sesuatu kawasan. Mengulas lanjut, beliau berkata Pejabat Kesihatan

Daerah (PKD) akan menentukan sama ada terdapat keperluan menutup sesebuah TASKA dan TADIKA susulan peningkata­n kes HFMD.

Katanya, KKM sudah menjangkak­an peningkata­n kes HMFD akan berlaku apabila sektor pendidikan dibuka dan kanak-kanak kembali ke sekolah dan TASKA.

“Namun untuk menentukan keperluan atau kewajaran menutup TASKA atau TADIKA akan ditentukan oleh PKD dan sekiranya keadaan memerlukan penutupan, keputusan akan dibuat di peringkat PKD,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kerjasama semua pihak penting dengan memastikan premis dalam keadaan bersih selain orang ramai sentiasa peka terhadap penyakit endemik yang lain seperti demam denggi dan HFMD.

“KKM ingin memaklumka­n terutama kepada ibu bapa gunalah ciri penyakit berjangkit dalam aplikasi Mysejahter­a untuk mendapat tahu jumlah kes di kawasan berhampira­n masing-masing.

Sekiranya tinggi berhati-hatilah dan perlu berwaspada.

“Sentiasala­h menjaga kebersihan diri kerana mungkin selama dua tahun ini kita tak fikirkan penyakit berjangkit yang lain, kita beri tumpuan pada penyakit COVID-19,” katanya.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Khairy (tengah ) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri KKM di Padang SMK Dato Mohd Yatim Gadong, Kota, Rembau, semalam.
(Foto BERNAMA) Khairy (tengah ) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri KKM di Padang SMK Dato Mohd Yatim Gadong, Kota, Rembau, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia