Berita Harian

PM baharu Sri Lanka sukar bentuk kerajaan perpaduan

-

Pemimpin kanan parti pembangkan­g enggan beri sokongan

Colombo: Perdana Menteri baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesi­nghe, berdepan kesukaran membentuk kerajaan perpaduan susulan tiada sokongan daripada ahli Parlimen lain.

Malah, beberapa pemimpin kanan parti pembangkan­g yang ditawarkan jawatan Menteri Kabinet semalam sudah menolak dan sebaliknya menggesa Parlimen dibubarkan bagi pembentuka­n kerajaan baharu.

Ahli Parlimen kanan pembangkan­g, Harsha de Silva, kelmarin secara terbuka menolak tugas menguruska­n sistem kewangan negara itu, malah beliau tetap mendesak pembubaran kerajaan.

“Rakyat tidak minta terbabit dalam permainan politik atau apa-apa perjanjian, sebaliknya mereka mahukan sistem baharu yang menjamin kesejahter­aan mereka pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Perikatan Nasional Tamil pula menyifatka­n pentadbira­n Rajapaksa sudah tidak sah apabila melantik Wickremesi­nghe, yang langsung tiada sokongan di Parlimen.

Parti berhaluan kiri, Barisan Pembebasan Rakyat (JVP) pula menegaskan, pilihan raya adalah satu-satunya jalan keluar daripada kemelut itu.

Ternyata pelantikan Wickremesi­nghe gagal meredakan kemarahan penduduk Sri Lanka yang berdepan krisis ekonomi terburuk sejak negara itu merdeka pada 1948.

Pada masa sama, majoriti masih menuntut penyingkir­an Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, sekali gus melenyapka­n cengkaman keluarga Rajapaksa, bagi membuka laluan untuk penubuhan kerajaan baharu.

Wickremesi­nghe adalah satusatuny­a ahli Parlimen daripada Parti Nasional Bersatu (UNP) yang diterajuin­ya dan perlu bergantung pada parti lain untuk membentuk kerajaan.

Gabungan diketuai keluarga Rajapaksa menguasai 100 daripada 225 kerusi Parlimen, manakala pembangkan­g memiliki 58 kerusi dan bakinya adalah kerusi wakil rakyat bebas.

Penunjuk perasaan menyifatka­n pelantikan Wickremesi­nghe tidak akan mengubah kemarahan rakyat terhadap Presiden Sri Lanka, yang didakwa bertanggun­gjawab sepenuhnya terhadap krisis ekonomi terburuk negara itu.

Beberapa siri tunjuk perasaan ganas sejak beberapa minggu lalu yang meragut sembilan nyawa dan menyebabka­n lebih 300 cedera menyaksika­n Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri lalu menyorok di sebuah pangkalan tentera.

Namun adiknya, Gotabaya, enggan tunduk kepada desakan rakyat supaya berundur dan berikrar akan melakukan sebaik mungkin bagi membantu Sri Lanka.

Dalam pada itu, bank pusat Sri Lanka memberi amaran bahawa ekonomi negara ini hanya menunggu masa untuk ‘hancur sepenuhnya’ melainkan kerajaan baharu dibentuk segera.

Kebimbanga­n itu turut disuarakan Wickremesi­nghe, yang menegaskan keadaan di negara itu boleh menjadi lebih teruk dalam beberapa bulan akan datang jika rakyat tidak bertolak ansur.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan antarabang­sa bagi memulihkan Sri Lanka.

“Kami mahu menjadi seperti dahulu, supaya rakyat boleh menikmati makan tiga kali sehari tanpa perlu risau mengenai bekalan mereka,” ujarnya. AFP

Ranil Wickremesi­nghe

 ?? (Foto AFP) ??
(Foto AFP)
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia