Berita Harian

Nilai secara tepat definisi buli dalam perkhidmat­an kesihatan

Pakar dalam pasukan petugas khas mampu siasat semula kes babitkan doktor pelatih

- saadiah_ismail@bh.com.my Oleh Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahba­ikan Budaya Kerja Perkhidmat­an Kesihatan (HWCITF) berupaya menyiasat kembali kes membabitka­n doktor pelatih yang dibuli.

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-medik), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata lapan anggota pasukan dilantik itu memiliki kepakaran yang boleh menilai dengan tepat definisi buli dalam perkhidmat­an kesihatan.

Katanya, buli perlu dilihat dari sudut tepat kerana bimbang jika maksudnya disalahert­ikan oleh mangsa.

“Sebenarnya, setiap bakal doktor ini sudah dibiasakan atau dilatih dengan tekanan dalam perkhidmat­an kerana pandangan terhadap tugas yang dipikul oleh mereka adalah tinggi.

“Jadi, kita tidak mahu buli itu dinilai dari sudut seperti tidak boleh menerima teguran dan sebagainya sehingga memberi satu pandangan tidak baik kepada satu pekerjaan yang mulia ini.

“Diakui juga, kadang-kadang ada pakar yang terlalu bertegas terhadap doktor muda ini hanya untuk memastikan mereka memberi perkhidmat­an terbaik, namun tak dinafikan ada juga pakar sering mengeluark­an kata-kata tidak sepatutnya kepada mereka,” katanya kepada BH.

Kelmarin BH mendedahka­n pengakuan seorang bekas doktor pelatih yang dibuli, Muhammad Farhan Mohammed, sehingga dibuang kerja.

Menyentuh mengenai pengakuan itu, Dr Rafidah Hanim berkata, seorang doktor itu mempunyai tagline iaitu ‘To be Safe Doctor’ atau ‘Menjadi Doktor yang Selamat’ di mana mereka perlu berkhidmat dengan selamat kepada pesakit-pesakit.

Katanya, jika doktor itu sendiri tidak mempunyai kesihatan mental yang sihat, bagaimana dia hendak membantu pesakit yang memerlukan bantuan.

“Jadi saya berpandang­an pasukan ditubuhkan dengan pelbagai latar belakang anggota itu boleh menilai semula mengenai kes ini.

“Kita bekerja membabitka­n nyawa, bukan bekerja dengan komputer atau sebagainya. Banyak perkara mungkin tidak didedahkan sebenarnya, jadi sebaiknya biar pakar psikiatri yang menentukan perkara ini.

“Buli sebenarnya tiada angka rasmi kerana kadang-kadang mangsa buli itu sendiri tidak membuat laporan, ia bukan bentuk buli yang sebenar. Jadi jawatankua­sa ini mungkin boleh mempunyai data sebenar sekiranya buli itu benar-benar terjadi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penubuhan pasukan itu juga mampu mengkaji dan menilai budaya yang wujud dalam perkhidmat­an kesihatan di negara ini.

Katanya, sistem on call umpamanya perlu dikemas kini kerana ketika ini doktor yang bertugas sudah melebihi daripada perkhidmat­an diperlukan pesakit.

“Jika zaman 90-an, kira-kira 600 doktor berjaya tamat pengajian hanya tiga universiti tempatan, tetapi kini, ia sudah menjangkau hampir 5,000 doktor setiap tahun.

“Justeru, pengagihan doktor di setiap hospital di negara ini perlu adil melihat kepada keperluan bukan berdasarka­n permintaan oleh sesetengah doktor saja menyebabka­n agihan doktor di kawasan di bandar dengan luar bandar tidak sama.

“Bayangkan jika seorang doktor dihantar ke kawasan pedalaman dan khidmat diperlukan memaksanya untuk terus on call. Jadi secara tidak langsung ia akan menambah tekanan sedia ada dan pada masa sama perlu mematuhi standard penjagaan kesihatan pesakit.

“Kementeria­n Kesihatan (KKM) perlu melihat kepada masalah pengagihan doktor yang tidak seimbang berbanding keperluan di semua kawasan,” katanya.

Kelmarin Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumka­n lapan anggota HWCITF yang dipengerus­ikan Bekas Ketua Setiausaha Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, antara lain bagi menyiasat kematian pegawai pelatih perubatan dan dakwaan budaya buli dalam perkhidmat­an kesihatan.

Anggota lain, bekas Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabang­sa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Ia turut dianggotai Pakar Perunding Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-lin; pakar bidang komunikasi dan media, keselamata­n pesakit, pembanguna­n jenama serta pengurusan krisis, Manvir Victor.

Kita tidak mahu buli itu dinilai dari sudut seperti tidak boleh menerima teguran dan sebagainya sehingga memberi satu pandangan tidak baik kepada satu pekerjaan mulia ini Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden I-medik

 ?? ?? Keratan akhbar BH, kelmarin.
Keratan akhbar BH, kelmarin.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia