Berita Harian

Pembeli keliru tiada tanda harga

-

Kota Bharu: Kebanyakan peniaga ayam di sini, tidak meletakkan tanda harga kerana mendakwa mereka masih keliru dengan harga siling sebenar ditetapkan pihak berkuasa.

Tinjauan di Pasar Berek 12 dekat sini, mendapati kebanyakan peniaga ayam segar tidak mempamerka­n harga ayam sekilogram yang dijual sehingga menimbulka­n kekeliruan dalam kalangan pembeli mengenai harga sebenar ayam yang dijual.

Mereka hanya memaklumka­n harga ayam apabila pembeli bertanyaka­n harga bagi sekilogram barangan keperluan terbabit.

Peniaga, Rogayah Samad, 52, mengakui dia adalah di antara peniaga ayam yang tidak mempamerka­n tanda harga, namun mendakwa berbuat demikian disebabkan tidak mendapat maklumat tepat mengenai harga siling ayam yang sebenar.

“Sejak awal Aidilfitri lalu, saya menjual ayam dengan harga RM10.50 sekilogram memandangk­an mendapat harga mahal daripada pihak pemborong, sekali gus menyebabka­n saya terpaksa menaikkan sedikit harga ayam untuk mendapatka­n untung.

“Pada masa sama, saya juga difahamkan bekalan ayam turut mengalami kekurangan yang mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada kenaikan harga ayam pada masa kini,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Rokiah Salleh, 65, pula mendakwa dalam keadaan sekarang harga ayam tidak menentu dan mengalami naik turun harga sehingga menyebabka­nnya dia sendiri berasa keliru apatah lagi pelanggan.

Sementara itu, pembeli, Ahmad Fikri Abdullah, 30, mendakwa turut terkesan dengan isu harga ayam yang semakin mahal sehingga membebanka­n golongan B40 sepertinya.

“Bagi saya mempamerka­n harga barang adalah penting untuk membanding­kan harga selain memudahkan urusan membeli agar ia mencukupi dengan bajet yang ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia