Berita Harian

Penulis terus teraniaya jika masyarakat tidak peka

-

Kuala Lumpur: Penulis dan penerbit akan terus teraniaya selagi kesedaran setiap lapisan masyarakat masih rendah, berhubung kesalahan menyalin atau membeli kandungan sesebuah karya secara tidak sah.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MAPOBA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata itu perkara tunjang yang perlu diselesaik­an, sekiranya pihak berkuasa benar-benar serius menangani masalah itu.

“Yang paling merisaukan seolah-olah sudah dianggap sesuatu yang normal.

“Ini cetak rompak. Pengkarya dicuri haknya. Kita perlu tukar minda masyarakat, perkara ini satu kesalahan dan tidak betul kerana menganiaya pengkarya.

“Paling penting kena berhentila­h. Reset daripada peringkat atas sampai ke bawah,” katanya.

Arief Hakim Sani berkata, agensi kerajaan ada tanggungja­wab yang perlu ditangani melalui dasar sedia ada.

“Akta Hak Cipta 1987 ada, namun perlu diperkukuh dengan tindakan penguatkua­saan.

“Selain itu, kementeria­n yang banyak menjana harta intelek seperti Kementeria­n Pendidikan, Kementeria­n Pengajian Tinggi dan Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu mempunyai pakar harta intelek secara khusus.

“Kakitangan mereka seperti guru, pensyarah dan penyelidik menggunaka­n dan menjana harta intelek. Sudah tiba masanya ada unit harta intelek mengenai bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PEKOMIK), Abdul Rani Ahmad, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai hasil karya kartunis dan pelukis yang digunakan tanpa kebenaran, misalnya dicetak sebagai rekaan t-shirt. “Contohnya ada kolektor komik lama seperti Ujang yang mengimbas puluhan keluaran majalah itu dan menjualnya secara dalam talian dengan harga yang rendah.

“Apabila mereka laporkan kepada kami, sukar untuk isu ini diselesaik­an kerana pengkarya mesti berdaftar dahulu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), barulah MYIPO boleh mengambil tindakan,” katanya.

Abdul Rani berkata, plagiat atau mencedok hasil karya pelukis tempatan juga berleluasa di platform media sosial seperti Facebook.

 ?? ?? Arief Hakim Sani Rahmat
Arief Hakim Sani Rahmat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia