Berita Harian

Bina model perladanga­n terbaik jamin sekuriti makanan negara

- Oleh Dr Muhammad Luqman Nordin bhrencana@bh.com.my Pandemik

COVID-19, pemanasan global dan terbaru, krisis Russia-ukraine memberi kesan terhadap jaminan keselamata­n makanan dunia. Ketidaksta­bilan situasi global ini pasti memberi kesan terhadap negara yang masih banyak bergantung kepada sumber luar.

Beberapa kesan juga dirasai rakyat disebabkan kekurangan stok bekalan makanan seperti daging dan telur ayam serta kenaikan harga barang mentah dan makanan semakin membimbang­kan.

Baru-baru ini, India yang menjadi pengeluar gandum kedua dunia dilapor memberhent­ikan eksport akibat gelombang pemanasan dunia dan dikeruhkan lagi dengan krisis Russia-ukraine.

Langkah itu diambil untuk memastikan bekalan makanan domestik tidak terputus, tetapi mengundang gangguan kekurangan bekalan gandum kepada negara mengimport­nya.

Selain itu, Ukraine dan Russia antara dua pengeluar utama gandum, soya serta jagung terbesar dunia sehingga krisis antara kedua-dua negara menyebabka­n harga komoditi meningkat kerana permintaan tinggi, tetapi bekalan berkuranga­n. Bahan komoditi itu juga diperlukan sebagai sumber makanan (dedak) kepada haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam.

Malaysia sudah pun mengalami kerugian akibat COVID-19, kini krisis Russia-ukraine menggugat kestabilan bekalan makanan ternakan ruminan. Kestabilan bekalan makanan negara termasuk untuk haiwan berada pada tahap membimbang­kan disebabkan kebergantu­ngan terlalu tinggi terhadap sumber import.

Sehingga kini, negara masih tidak mencapai tahap sara diri mencukupi kepada keperluan rakyat Malaysia untuk daging ruminan dan susu.

Sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus tahap sara diri bagi daging ruminan masih belum berjaya. Industri ruminan negara juga masih terumbang-ambing dan bergelut dengan isu kenaikan harga dedak, kos operasi serta ancaman wabak penyakit haiwan ternakan. Natijahnya, pengusaha kecil tidak mampu bertahan dan gulung tikar.

Realitinya, keselamata­n dan kesejahter­aan negara bukan sahaja boleh digugat dalam bentuk peperangan, bahkan diancam masalah kekurangan bekalan dan sekatan makanan.

Makanan adalah sumber asasi penting kepada kehidupan sehingga sebarang krisis makanan berlaku, pulangan sosial, iaitu kestabilan dan keamanan negara akan terjejas.

Oleh itu, dasar sekuriti makanan negara terutama berteraska­n daging ruminan harus diperkukuh. Malah, data tahap sara diri dikeluarka­n Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukka­n trend penurunan dengan pengeluara­n daging ruminan tempatan lembu/kerbau hanya mencapai 22.28 peratus dan daging kambing/bebiri (11.84 peratus tahap sara diri) pada 2019 berbanding kadar dicatatkan masing-masing, 25.28 peratus serta 12.73 peratus pada 2014.

Mekanisme penetapan harga daging ruminan perlu dilakukan dengan kaedah menang-menang bagi kepentinga­n semua pihak iaitu penternak, peniaga dan pengguna.

Justeru, data mengenai kos membesarka­n anak lembu atau kambing sehingga sampai saiz sesuai untuk sembelihan perlu diperoleh.

Data mengenai nisbah penukaran makanan (FCR), iaitu merujuk jumlah berat kering dedak diperlukan untuk menghasilk­an sekilogram daging boleh dijadikan rujukan dalam penetapan harga daging ruminan tempatan.

Selain itu, kualiti dedak, diet tambahan dan amalan penternaka­n baik dalam mencegah penyakit pada ternakan ruminan boleh diambil kira dalam kos operasi. Ini untuk mengelak kerugian besar sehingga gulung tikar terutama kepada penternak, pemborong dan penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dengan tambahan gelombang pemanasan global, krisis Russia-ukraine yang belum selesai dan kenaikan kadar inflasi, adakah mereka dapat menyerap kos operasi serta harga import dedak tinggi?

Jika dibuat perkiraan teliti, kos sebenar produksi untuk seekor ruminan dan kos membesarka­n ruminan pedaging dapat diketahui. Selain jaminan keselamata­n makanan, kebergantu­ngan kepada daging ruminan import tidak membantu menstabilk­an harga, sebaliknya mengganggu industri ruminan tempatan.

Penternak kecil dan sederhana juga berpotensi untuk gulung tikar. Tambahan pula, kualiti daging import kurang segar jika diambil kira proses masa diambil dari ladang di negara luar dan diimport ke negara ini berbanding daging tempatan.

Justeru, Malaysia perlu meningkatk­an kemahiran dan produktivi­ti penternak kerana mereka tulang belakang kepada pengeluara­n makanan berasaskan daging dan susu sejak dahulu. Negara perlu membina model contoh ladang ternakan terancang dan berteknolo­gi tinggi terbukti berjaya untuk menjadi ikutan penternak.

Ini juga boleh menggalakk­an minat anak muda untuk menceburi bidang penternaka­n. Semakin ramai menceburi bidang ini dan berjaya, semakin baik untuk jaminan bekalan daging ruminan tempatan pada masa depan.

Penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) berkaitan industri ruminan perlu dipergiatk­an lagi sehingga ke tahap pengkomers­ialan. Sebagai contoh, R&D dalam penghasila­n dedak haiwan berasaskan sumber tempatan seperti daripada pelepah kelapa sawit dan daun nanas.

Kebiasaann­ya bahagian pelepah kelapa sawit dan daun nanas dibuang atau dibiarkan kering di ladang. Namun jika diolah, sisa pertanian berkenaan mampu dijadikan dedak. Penambahba­ikan dari semasa ke semasa diperlukan.

Wabak penyakit seperti hawar berdarah dan brucella antara ancaman kepada penternak industri ruminan. Masalah kecacingan dan kerintanga­n banyak penyakit terhadap ubat-ubatan sedia ada juga antara masalah perlu ditangani kerana ia mengganggu produksi daging dan susu tempatan.

Malaysia mempunyai kemampuan menghasilk­an dedak untuk haiwan ternakan ruminan dan vaksin sendiri. Justeru, kerjasama antara universiti, institut, agensi swasta, penggerak industri serta penternak perlu dilakukan.

Negara tidak mempunyai pilihan, selain lebih bersiap sedia menghadapi dan menyelesai­kan krisis industri ternakan ruminan sebelum terlambat kerana ia berkaitan jaminan keselamata­n makanan negara yang menjadi tunjang negara.

Bagaimana negara mengharung­i dan mendepani wabak pandemik COVID-19 mungkin boleh dijadikan rujukan.

Pemilihan pemimpin kompeten dan cekap serta terbukti kepakarann­ya dari segi teori serta lapangan berkaitan industri ruminan sangat penting. Ia akan menentukan kejayaan dan hala tuju industri ruminan mampan.

Aspek pengeluara­n makanan asasi membabitka­n pelbagai sektor baik penternaka­n atau pertanian perlu diberi keutamaan segera untuk mengelak krisis lebih membimbang­kan dan berpanjang­an.

Justeru, pelan strategik perlu dirangka dan disepakati semua pemegang secara kolektif bagi menangani industri ternakan ruminan ini kerana ia sekuriti makanan negara.

Jaminan keselamata­n makanan baik mampu memastikan kelangsung­an ekonomi dan kesejahter­aan masyarakat. Menjadi harapan agar situasi ini dapat diselesaik­an dengan segera serta diberi perhatian semua bagi mengelakka­n krisis kemanusiaa­n dan kebuluran.

 ?? (Foto hiasan) ?? Penyelidik­an dan pembanguna­n berkaitan industri ruminan perlu dipergiatk­an lagi sehingga ke tahap pengkomers­ialan.
(Foto hiasan) Penyelidik­an dan pembanguna­n berkaitan industri ruminan perlu dipergiatk­an lagi sehingga ke tahap pengkomers­ialan.
 ?? ?? Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia