Berita Harian

Setiap bulan hantar wang kepada Zahid

-

Bekas Pengarah UKSB beritahu tertuduh minta naik sumbangan, terima SG$520,000 sebulan pada 2017

Shah Alam: Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahka­n di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa syarikatny­a menghantar wang tunai setiap bulan dalam bentuk dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Harry Lee Vui Khun berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir 2014 dengan bayaran SG$200,000 sebulan, kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

“Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung 2014 dan berterusan sehingga pertengaha­n 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan. Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi) SG$300,000 sebulan.

“Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadiny­a. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

“Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraa­n kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumka­n bahagian UMNO memerlukan bantuan kewangan.

“Dalam perbincang­an kami, kami bersetuju untuk membayar RM10,000 bagi setiap bahagian, iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruha­n mencecah SG$520,000 sebulan,” katanya.

Kes lanjut kontrak UKSB laksana sistem VLN

Saksi pendakwaan ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap, sebelum ini memberitah­u mahkamah bahawa Ahmad Zahid sudah menyambung kontrak UKSB untuk projek VLN, walaupun kontrak sedia ada masih berbaki tiga tahun lagi.

Apabila ditanya dalam soalan tambahan oleh DPP Datuk Raja Rozela Raja Toran, bolehkah anda mengingati berapa kali anda menghantar (wang tunai) dari 2014 hingga 2018? Beliau berkata: “Proses itu 70 peratus dilakukan oleh saya... 40 kali dalam tempoh empat tahun.”

Raja Rozela: Bolehkah anda ingat dengan siapa anda pergi ke Country Heights, Kajang (rumah Ahmad Zahid) untuk menyerahka­n wang itu? Harry Lee: Dengan Wan Quoris dan David Tan.

Raja Rozela: Dalam kenyataan, anda berkata wang itu diserahkan sendiri oleh anda, anda pergi bersama (Wan Quoris dan David Tan) mengapa anda berbuat demikian?

Harry Lee: Saya tidak pasti, dari hari pertama penghantar­an sedemikian, saya hanya ikut dari hari pertama, ia adalah pertemuan empat mata (dengan Ahmad Zahid).

Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantar­an yang dilakukann­ya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangka­n wang berkenaan.

Perbicaraa­n didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa. BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
(Foto BERNAMA) Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia