Berita Harian

Yasin mula rawatan bipolar

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Penyanyi nasyid, komposer ditahan kes tanam ganja dapat rawatan di Hospital Sungai Buloh

Petaling Jaya: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, sudah mendapatka­n rawatan untuk penyakit bipolar yang dihidapiny­a kelmarin, kali pertama sejak dia ditahan susulan kes ganja pada hujung Mac lalu.

Peguam Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein, memaklumka­n rawatan itu diterima anak guamnya di Hospital Sungai Buloh, di sini, dengan rawatan susulan menyusul dalam tempoh enam minggu ini di hospital sama.

“Ada dua perkara ingin dimaklumka­n, pertama kami ingin memberi perkembang­an pada pagi ini mengenai proses rawatan diuruskan pihak penjara dan semalam (kelmarin) OKT (Orang Kena Tuduh) itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Walaupun agak lewat (Yasin dibawa untuk rawatan), kami ucap terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkink­an rawatan itu.

“Kedua, laporan kimia tak siap lagi, (namun) kami harap tarikh sebutan kes tak lama, sebulan (daripada hari ini),” katanya pada sebutan kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen, di sini, semalam.

Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabka­n perubahan mod tinggi dan rendah yang teruk serta perubahan dalam tidur, tenaga, pemikiran serta tingkah laku.

Orang yang mengalami gangguan bipolar boleh mengalami tempoh yang mana mereka berasa terlalu gembira dan bertenaga dan dalam tempoh lain pula berasa sangat sedih, putus asa dan lesu.

Pada 31 Mac lalu, Yasin yang terkenal melalui lagu Mimpi Laila berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamanny­a pada 24 Mac lalu.

Bagaimanap­un, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Terdahulu semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashima­h Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memohon tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia berkenaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Jamaludin Man menetapkan 22 Jun depan untuk tarikh sebutan berkenaan.

Yang turut hadir, pada prosiding, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan abang Muhammad Yasin, Zain Sulaiman.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui berterima kasih kepada Syed Saddiq dan rakan yang hadir memberi sokongan kepadanya.

“Semoga kerajaan mengeluark­an ganja daripada senarai narkotik,” katanya.

Syed Saddiq pula berkata, beliau sudah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperhalu­si cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Perdana Menteri ada membangkit­kan isu ini dalam (mesyuarat) Kabinet dan saya dengar ada maklum balas sangat positif.

Ada timbalan menteri memaklumka­n bahawa Kabinet secara prinsip sudah meluluskan­nya dan akan ada wakil Kabinet yang uruskan.

“Saya memang sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya dilihat dari sudut data dan sains,” katanya.

Zain pula memaklumka­n ahli keluarga melawat Muhammad Yasin di Penjara Sungai Buloh setiap minggu bagi memberi sokongan kepada adiknya itu.

“Ahli keluarga memberi sokongan berterusan kepada Yasin sebab tak nak dia rasa tidak semangat dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten.

“Anak dia juga berada dalam keadaan baik dan Yasin akan menghubung­i mereka sekali seminggu,” katanya.

 ?? (Foto Owee Ah Chun/bh) ?? Yasin keluar dari Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, semalam.
(Foto Owee Ah Chun/bh) Yasin keluar dari Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia