Berita Harian

BPEN bentang kertas syor eksport ketum minggu depan

-

Alor Setar: Kertas cadangan kerajaan negeri untuk mengekspor­t ketum sudah disiapkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dan dijangka dibentangk­an pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akan meneliti kertas cadangan itu sebelum diserahkan kepada Kerajaan Persekutua­n.

“Kita hendak mohon Kerajaan Persekutua­n pertimbang­kan kebenaran eksport (ketum) dengan dalil kita dalam kertas cadangan itu. Kalau kerajaan kata tak boleh, no way, tak ada jalan juga kita kena tunggu lagilah.

“Mungkin selepas ini ada perubahan berdasarka­n perkembang­an semasa bidang perubatan. Saya harap perkembang­an itu tidak akan terbeku di situ,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, penemuan mengenai kebaikan ketum ini sudah dibuat kajian Kedah Bioresourc­es Corporatio­n (Kbiocorp) sejak beberapa tahun lalu, namun ia terhad kepada kajian semata-mata.

Katanya, jika ketum dibenarkan eksport, akan wujud agensi yang mengumpul dan mengekspor­t bahan itu ke luar negara.

“Ketum umpama pisau dapur, tetapi pisau dapur apabila salah guna boleh bunuh orang, takkan nak salah pisau itu, salahnya salah guna pisau. Sama macam ketum juga jangan salah guna, hanya guna untuk sektor perubatan yang telah melalui kajian saintifik.

“Contohnya dahulu orang guna untuk ubat cacing, cuma ambil daun dan gumpal kemudian letak di perut. Jadi yang tidak ada cacing takkan nak guna daun ketum ini,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, cadangan mengekspor­t ketum itu bukan bermakna beliau meminta rakyat Kedah menanam ketum kerana aktiviti eksport itu hanya membabitka­n tanaman sedia ada.

“Saya bukan suruh tanam sebaliknya, saya minta kerajaan benarkan eksport ketum sedia ada.

“Yang sedia ada itu pun banyak dan sedang diseludup, jadi kita selesaikan­lah isu penyeludup­an ini dengan benarkan eksport.

“Nasihat saya, tak perlulah tanam lagi dan saya pun bukan nak galakkan penanaman. Kita eksport apa yang ada hari ini pun cukup dah kalau dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, dakwaan berlaku penanaman ketum secara besar-besaran di kawasan tertentu seperti dibangkitk­an media baru-baru ini bukan perkara baharu.

“Undang-undang kita sekarang menetapkan menanam ketum bukan satu kesalahan, tetapi saya nasihatkan tak payah tanam lagi. Tanaman ini rasanya sudah banyak sangat dengan anggaran jumlah pokok ketum juga ada dalam maklumat Jabatan Pertanian serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia