Berita Harian

Harga minyak mahal dijangka berpanjang­an

-

Harga minyak yang mahal ketika ini dijangka kekal berterusan berikutan inventori minyak global yang rendah bagi tempoh beberapa tahun ini akan berpanjang­an, demikian mengikut Hong Leong Investment Bank Research.

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidik­annya, inventori minyak global menurun 17 peratus kepada 2.65 bilion tong pada Februari 2022 daripada paras tinggi 3.2 bilion tong pada Julai 2020.

Katanya, keadaan itu memberikan tekanan menaik selanjutny­a ke atas harga minyak global pada masa hadapan.

“Di sebalik ikrar OPEC+ untuk meningkatk­an output minyaknya, iaitu tambahan 400,000 tong sehari pada setiap bulan, ketika perjumpaan April lalu, namun pengeluara­n sebenar adalah tidak menepati jangkaan.

“Ia antara lain disebabkan oleh kemuflisan pengeluar syal AS, kawal selia dalam harga karbon dan peraturan lain yang dipacu oleh iklim, kurang pelaburan dalam mengembang­kan kapasiti minyak, dan mandat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menyahkarb­on,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat juga menjadi punca kepada masalah itu.

Katanya, sebelum perang Russia-ukraine, harga minyak mentah sudah berada pada trend menaik kerana permintaan disokong oleh pembukaan semula pasca COVID-19.

“Secara keseluruha­n, perang Russia-ukraine yang berlarutan dan rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamk­an import minyak Russia sebagai tindak balas kepada penceroboh­an Ukraine akan meningkatk­an lagi harga minyak.

“Ini kerana EU bergantung kepada Russia dalam membekalka­n minyak kepada mereka yang mewakili 26 peratus. Menurut Agensi Tenaga Antarabang­sa (IEA), pengeluara­n hampir 3 juta tong sehari oleh Russia mungkin tidak dapat dijual kerana sekatan antarabang­sa.

“Dalam hal ini, kami ambil perhatian bahawa jurang bekalan minyak semakin melebar dan tidak mungkin dapat dipenuhi oleh negara pihak ketiga, memandangk­an Russia membekalka­n kira-kira 10 peratus daripada minyak dunia bersama-sama beberapa pengeluar minyak dunia yang menghampir­i kapasiti had gantian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarka­n Bloomberg, China memberi isyarat bahawa penutupan Shanghai akan berakhir tidak lama lagi yang mana menurut sumber, mungkin pada akhir Mei.

“Sebaik sahaja kerajaan mula menarik balik sekatan mobiliti yang mengganggu kehidupan berjuta-juta orang di bandar paling ramai penduduk di negara itu dan mengganggu segala-galanya daripada perjalanan ke pengeluara­n perindustr­ian, import minyak sepatutnya meningkat menjelang musim panas yang biasanya permintaan adalah tinggi dan seterusnya meningkatk­an harga komoditi itu di tengah-tengah bekalan pasaran yang ketat,” katanya.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia