KPFB bangun projek kediaman RM389J
Jalin kerjasama dengan 5 entiti jayakan binaan di Gombak zaky@bh.com.my
Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Bhd (KPFB) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan lima entiti bagi membangunkan tiga lot tanah berkeluasan 3.197 hektar milik KPFB membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM389 juta.
Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran, berkata pembangunan projek kediaman dikenali KPFB PR1MA dan KPFB Residensi itu akan dilaksanakan bersama Siab Development
Sdn Bhd, Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Bhd (KOPENAS), Koperasi Kakitangan FELCRA Malaysia Bhd (KKF) dan Koperasi Hartanah Angguna Bhd (KOHAB).
“MOU ini membabitkan cadangan pembangunan tanah untuk perumahan di atas Lot 2,146; 2,148 dan 2,150 di Sungai Tua, Gombak milik KPFB.
“Ia merangkumi pembinaan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi di Selayang dengan GDV RM389 juta,” katanya pada sidang media pemeteraian MOU di Kuala Lumpur, semalam.
Sabari berkata, perjanjian bagi pembangunan dua projek kediaman itu membawa kepada penyertaan KPFB dalam bidang hartanah.
Katanya, ia dijangka dapat menambah pendapatan koperasi pada jangka masa pendek dan panjang merangkumi 13 peratus daripada nilai GDV atau RM50 juta kepada KPFB.
“KPFB turut mendapat sokongan daripada FELCRA Bhd dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dengan dua entiti ini sentiasa menggalakkan koperasi melabur dalam sektor hartanah yang terbukti menguntungkan serta menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.
Beliau menjelaskan, KPFB juga melantik KOPENAS, KKF dan KOHAB yang memiliki ramai keahlian sebagai ejen jualan bagi projek berkenaan.
“Pada masa sama, kami juga akan melantik ejen berkemampuan lain untuk membantu memasarkan projek ini.
“Beberapa bank dijemput untuk menjadi bank panel antaranya Bank Rakyat, Affin Islamic Bank dan Co-opbank Pertama Bhd (CBP),” katanya.
Pembinaan bagi projek pembangunan KPFB dijangka bermula Oktober ini dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.