Berita Harian

Lebih 250 pejuang Ukraine di Mariupol menyerah diri

-

Putin beri jaminan tawanan perang dilayan ikut piawaian antarabang­sa

Mariupol: Lebih 250 pejuang Ukraine menyerah diri kepada tentera Russia di loji keluli Azovstal di Mariupol, selepas memberi tentangan dan cuba mematahkan serangan pihak musuh selama beberapa minggu.

Tindakan itu sekali gus menamatkan pertempura­n antara yang paling lama sejak Russia menceroboh di Ukraine Februari lalu dan membenarka­n Presiden Vladimir Putin, menuntut kemenangan luar biasa terhadap kempennya yang semakin merosot.

Konvoi bas dilihat meninggalk­an loji besi itu dengan diiringi kenderaan berperisai Russia.

Lima bas tiba di bandar Novoazovsk, yang ditawan Russia, di mana Moscow berkata tentera pejuang Ukraine yang cedera akan dirawat.

Kremlin, berkata Putin secara peribadi memberi jaminan bahawa tawanan perang akan dilayan mengikut piawaian antarabang­sa dan pegawai Ukraine akan ditukar dengan tahanan Russia.

Anggota tentera Ukraine menaiki bas untuk dipindahka­n selepas menyerah diri kepada tentera Russia di loji keluli Azovstal di Mariupol.

Saksi Reuters bagaimanap­un berkata, tujuh bas membawa pejuang Ukraine dari Azovstal, tiba di penjara yang baru dibuka di bandar Olenivka berdekatan Donetsk.

Agensi berita TASS, berkata jawatankua­sa Russia bercadang untuk menyoal tentera, yang kebanyakan­nya adalah ahli batalion Azov, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap apa yang digelar Moscow sebagai ‘rejim jenayah Ukraine’.

Penawanan sepenuhnya Mariupol adalah kejayaan terbesar Russia sejak penceroboh­annya pada 24 Februari lalu.

Bagaimanap­un bandar pelabuhan itu hanya tinggal runtuhan dan Ukraine percaya puluhan ribu orang terbunuh akibat bedilan Russia selepas beberapa bulan.

Russia berkata, sekurang-kurangnya 256 pejuang Ukraine meletakkan senjata dan menyerah diri, termasuk 51 yang cedera parah.

Video Menteri Pertahanan Russia menunjukka­n pejuang meninggalk­an loji, sesetengah­nya dibawa keluar di atas pengusung dan yang lain mengangkat tangan untuk diperiksa oleh tentera Ukraine.

Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar pula berkata, Kyiv tidak akan mendedahka­n jumlah pejuang yang masih berada di dalam sehingga semua mereka selamat.

Tentera Ukraine berkata, unitnya di Azovstal sudah menyelesai­kan misi tempur mereka.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk berkata Kyiv menyasarka­n untuk melakukan pertukaran tahanan bagi mereka yang tercedera sebaik saja situasi menjadi stabil, namun kedua-dua pihak enggan mendedahka­n terma bagi sebarang perjanjian spesifik. REUTERS

 ?? (Foto EPA) ??
(Foto EPA)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia