Berita Harian

‘Geng Kontong’ heret peti besi kena tahan

- Oleh Izad Thaqif Hassan bhnews@bh.com.my

3 beradik bersama lima lagi suspek pecah rumah, kedai telefon bimbit diberkas

Kulim: Kegiatan tiga beradik dikenali sebagai ‘Geng Kontong’ yang aktif melakukan pecah rumah dan kedai tumpas apabila ditahan ketika melarikan peti besi selepas memecah masuk sebuah kedai telefon bimbit di Taman Kemuning, dekat sini.

Tiga beradik berusia 21 hingga 28 tahun itu ditahan Rabu lalu, bersama lima lagi suspek yang turut bersekongk­ol dengan mereka selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melakukan beberapa serbuan di daerah ini dan juga Pulau Pinang.

Terdahulu, dalam kejadian jam 5.40 pagi, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumka­n terlihat tiga lelaki sedang mengheret peti besi dalam keadaan mencurigak­an.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superinten­dan Mohd Redzuan Salleh, berkata sepasukan anggota kereta peronda polis (MPV) tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian membuatkan semua suspek bertempiar­an melarikan diri meninggalk­an peti besi terbabit di hadapan sebuah hotel bajet.

Susulan itu, katanya, polis menerima laporan pemilik sebuah kedai telefon bimbit selepas mendapati pintu belakang dipecah dan keadaan dalam premis berselerak, selain peti besi mengandung­i 30 telefon bimbit serta dokumen hilang.

“Kita kemudian menahan dua suspek dalam serbuan pertama di tepi jalan di daerah ini, disusuli tiga lagi suspek di inap desa Taman Kasawari, Simpang Empat Pulau Pinang. Seorang lagi suspek kemudian ditahan di Kampung Padang Janggus, Junjong, manakala dua lagi tangkapan terakhir dilakukan di Pulau Pinang.

“Siasatan mendapati ahli kumpulan ini termasuk tiga beradik dikesan aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan kedai ini sejak awal tahun lalu.

“Selain tiga beradik itu, kita turut menahan lima lagi suspek yang juga individu membeli barang curi daripada kumpulan penjenayah terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Mohd Redzuan berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, tiga suspek dilihat menarik peti besi terbabit sejauh 100 meter menuju hotel bajet berhampira­n dan mereka gagal membuka pintunya.

“Kita percaya suspek ingin memecah pintu peti besi itu di hotel bajet terbabit, namun perbuatan mencurigak­an mereka dilihat orang awam yang kemudian menghubung­i polis.

“Suspek dilihat mengheret peti besi beroda itu menggunaka­n motosikal sebelum mereka yang terkejut dengan kehadiran polis terus melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Redzuan berkata, pihaknya percaya dapat menyelesai­kan empat kes pecah kedai dan rumah sekitar daerah ini serta tidak menolak kemungkina­n beberapa kes seumpamany­a turut dilakukan geng berkenaan di Pulau Pinang.

“Semua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah, mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Kita turut merampas sebuah kereta dan dua motosikal digunakan suspek ketika melakukan kegiatan pecah kedai terbabit,” katanya.

 ?? (Foto Izad Thaqif Hassan/bh) ?? Mohd Redzuan menunjukka­n peti besi dan barang rampasan selepas menahan lapan suspek ‘Geng Kontong’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan kedai di Kulim sejak awal tahun lalu.
(Foto Izad Thaqif Hassan/bh) Mohd Redzuan menunjukka­n peti besi dan barang rampasan selepas menahan lapan suspek ‘Geng Kontong’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan kedai di Kulim sejak awal tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia