Berita Harian

Leipzig julang trofi selepas kali ketiga percubaan

-

Berlin: RB Leipzig yang beraksi 10 pemain akhirnya menjulang trofi Piala Jerman sulung mereka selepas tiga percubaan apabila menewaskan Freiburg 4-2 menerusi penentuan penalti.

Sebelum itu Leipzig bangkit mengikat Freiburg 1-1 untuk mengheret permainan ke penentuan penalti selepas tamat masa tambahan.

“Untuk menang dengan 10 pemain menggambar­kan mentaliti kami dan saya amat bangga. Memang lega akhirnya mendapat gelaran pertama kami,” kata pemain tengah Leipzig Emil Forsberg.

Maximilian Eggestein meletakkan Freiburg di depan dalam aksi di Stadium Olimpik Berlin sebelum Christophe­r Nkunku menyamakan kedudukan dalam tempoh 90 minit permainan selepas Marcel Halstenber­g dibuang padang.

Kejayaan Leipzig itu hadir selepas mereka tewas dalam dua final sebelum ini, di tangan Bayern Munich pada 2019 dan kepada Dortmund musim lalu.

Majlis penyampaia­n hadiah tertangguh seketika apabila seorang peminat terpaksa dirawat di tepi padang. Ia adalah gelaran major pertama dimenangi RB Leipzig, yang ditaja syarikat minuman tenaga Red Bull dan hanya ditubuhkan pada 2009.

Mereka melonjak ke kelompok elit bola sepak Jerman dengan empat kenaikan liga dalam tempoh tujuh tahun dan kali pertama menyertai Bundesliga pada musim 2016-17, dua kali muncul naib juara di belakang Bayern Munich sepanjang enam tahun lalu.

Pengendali Leipzig Domenico Tedesco menamatkan musim pertamanya dengan trofi selepas menggantik­an Jesse Marsch pada Disember lalu. Ini adalah kali pertama dalam tempoh 11 tahun Bayern Munich atau Borussia Dortmund gagal beraksi di pentas final.

Juara Bundesliga, Bayern tersingkir pada pusingan kedua selepas dibelasah 5-0 oleh Borussia Moenchengl­adbach pada Oktober. Dortmund yang muncul naib juara liga musim ini, tewas 2-1 di tangan kelab divisyen dua St Pauli dalam pusingan ketiga Januari lalu. AFP

Pasukan Leipzig meraikan kejayaan memenangi final Piala Jerman menentang SC Freiburg di Berlin, Jerman.

 ?? (Foto EPA) ??
(Foto EPA)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia