Berita Harian

Peniaga terpaksa naikkan harga menu berasas ayam

- Oleh Suraya Roslan bhnews@bh.com.my

Pengusaha restoran dakwa kena bayar kadar mahal kerana bekalan ternakan terhad

Kuala Lumpur: Menu makanan berasaskan ayam, kini menerima tempias kesan kekurangan bekalan sumber protein itu apabila harganya mula dinaikkan peniaga dengan alasan mereka terpaksa membayar kadar mahal terhadap bekalan yang diterima.

Bersandark­an kenaikan harga bekalan yang diterima itu, pengusaha gerai dan restoran kini mengambil langkah menaikkan harga menu makanan berasaskan ayam antara 50 sen dan RM1 bagi setiap hidangan.

Bagi pemilik restoran di Puncak Jalil, Selangor ini yang mahu dikenali sebagai Aiman, 39, berkata setakat ini dia menerima bekalan dari kilang penyembeli­han ayam di Puchong.

“Jika saya ambil daripada pembekal, bekalan diterima sangat terhad kerana mereka tidak boleh membekalka­n 80 ekor ayam seperti diperlukan setiap hari.

“Nasib baik saya dapat bekalan terus dari kilang penyembeli­han, walaupun perlu membayar pada harga RM9.30 sekilogram,” katanya.

Justeru, katanya, dia tiada pilihan, selain daripada menaikkan harga makanan berasaskan ayam yang dijual untuk menampung kos.

“Jika dahulu nasi ayam dijual dengan harga RM7.50 sebungkus, saya terpaksa menaikkan kepada RM8 sekarang.

“Begitu juga menu lain yang menggunaka­n ayam, nasib baik rata-rata pelanggan faham tindakan ini,” katanya.

Pengusaha restoran nasi ayam dekat Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, Mastura Jamil, 40, berkata berikutan masalah bekalan yang terhad, dia juga terpaksa mengurangk­an kuantiti jualan sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, jika sebelum ini, dia dapat menjual 1,000 bungkus nasi ayam sehari, namun sejak beberapa hari lalu kekurangan bekalan diterima menyebabka­n jualannya setakat 500 bungkus sahaja.

“Ini disebabkan jumlah ayam yang kami dapat daripada pembekal hanya 50 ekor sahaja, berbanding sebelum ini lebih 200 ayam sehari.

“Selain bekalan kurang, harga ayam juga naik dengan mendadak menyebabka­n kami sebagai peniaga kedai makan terpaksa menaikkan harga jualan nasi demi kelangsung­an hidup,” katanya.

Sementara itu, peniaga restoran di Jalan Pantai Baharu, Ali Syed Mohd, 54, mengakui setakat ini bekalan ayam diterima untuk kedai makannya masih ada, namun bekalan makin sukar diperoleh.

“Perkara ini memang merunsingk­an kami sebagai peniaga restoran kerana ayam menjadi antara menu utama pilihan pelanggan.

“Sukar untuk kami berniaga tanpa bekalan ayam mencukupi. Jika berlaku perbezaan ketara, sukar untuk kami mengekalka­n harga sedia ada melainkan menaikkan harga jualan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia