Berita Harian

Guardiola label skuad City sebagai legenda

-

Liga Perdana Inggeris

City meraikan kejayaan mempertaha­nkan kejuaraan EPL di Stadium Etihad, kelmarin.

Pasukan kekalkan gelaran, musnah impian Liverpool raih empat piala

Manchester: Manchester City mengekalka­n gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan gaya dramatik apabila bangkit selepas ketinggala­n 2-0 untuk menewaskan Villa 3-2 menerusi tiga gol dalam tempoh 15 minit di sini, kelmarin.

Ilkay Gundogan masuk dari bangku simpanan untuk meledak dua gol dengan Rodri juga menemui sasaran ketika skuad Pep Guardiola berjaya menghalang usaha Liverpool menang gelaran dengan hanya kelebihan satu mata.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menyempurn­akan tugas apabila bangkit daripada ketinggala­n satu gol untuk menewaskan

Wolves 3-1 di Anfield, namun kemenangan City memusnahka­n harapan Liverpool untuk meraih empat kejuaraan.

Mengulas kejayaan itu, Guardiola berkata, pemain City yang menjuarai EPL adalah legenda yang akan dikenang sepanjang masa selepas mereka bangkit daripada ketinggala­n untuk menang 3-2 dan mengesahka­n gelaran pada hari terakhir musim.

Hanya Manchester United ketika era Alex Ferguson memenangi gelaran sebanyak itu dalam tempoh lima tahun. Guardiola turut percaya pasukannya berhak diiktiraf sebagai antara paling hebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.

“Mereka adalah legenda. Apabila anda menang empat kali dalam lima tahun di negara ini, ia adalah kerana pemain ini memang istimewa. Mereka akan dikenang sepanjang zaman,” katanya.

Sementara itu, Klopp mengakui kegagalan menyakitka­n Liverpool yang kempunan merampas gelaran EPL adalah ‘kisah hidup saya.’ City mengatasi Liverpool ketika perebutan gelaran pada 2019 dan Klopp pernah mengalami kekecewaan apabila gagal layak ke Bundesliga pada hari terakhir ketika menjadi pengurus Mainz.

“Tahniah kepada Man City dan Pep Guardiola. Terima kasih kepada Aston Villa dan Wolverhamp­ton kerana memberikan saingan sebenar. Ia bukan keputusan yang kami mahu, ia turun naik.

“Menamatkan musim di tempat kedua adalah kisah hidup saya. Saya masih memegang rekod di Jerman apabila tidak mendapat kenaikan, walaupun mengumpul mata terbanyak. Anda perlu mendapatka­n lebih banyak mata berbanding pasukan lain, tetapi kami tidak melakukann­ya,” kata Klopp.

Di sebalik kegagalan itu, Klopp membawa Liverpool memenangi Piala FA serta Piala Liga dan boleh memenangi trofi ketiga musim ini jika menewaskan Real Madrid pada final Liga Juara-juara Eropah di Paris, Sabtu ini. AFP

 ?? (Foto REUTERS) ??
(Foto REUTERS)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia