Berita Harian

Tentera sepakat bina dua pos sempadan baharu

-

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thailand semalam, bersetuju membina dua Pos Sempadan Terkoordin­asi (CBP) baharu bagi menangani jenayah rentas sempadan dan kegiatan penyeludup­an yang dijangka siap sepenuhnya, tahun ini.

Persetujua­n bilateral itu dicapai menerusi kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan ke atas Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein yang membincang­kan pelbagai isu kepentinga­n bersama di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Hishammudd­in dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua negara turut membincang­kan kaedah memperheba­t kerjasama ketenteraa­n Malaysia-thailand, khususnya membabitka­n latihan, kursus dan eksesais bersama.

Beliau turut mengesyork­an supaya kerjasama pertahanan Rondaan Selat Melaka (MSP) diperluas kepada Mesyuarat Kuadrilate­ral peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Ia sekali gus akan memberi peluang bagi pemimpin keempat-empat negara bertukar pandangan dan memberi panduan ke arah pengoperas­ian MSP pada masa hadapan.

“Saya ingin memaklumka­n cadangan berkenaan menerima sokongan daripada Prawit, selain Malaysia menantikan Mesyuarat Kuadrilate­ral MSP peringkat Menteri Pertahanan yang akan dianjurkan julung kalinya oleh Thailand,” katanya.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand dalam kunjungan hormat bagi mewakili Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha itu turut mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Persempada­nan Am Ke-55 bersama dengan Hishammudd­in.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementeria­n Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Chaichan Changongko­l; Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Chalermpol

Srisawat dan Ketua Setiausaha Majlis Keselamata­n Negara Thailand, Jeneral General Supot Malaniyom.

Dalam pada itu, Hishammudd­in turut membangkit­kan perbincang­an mengenai projek infrastruk­tur penting di kawasan sempadan, antaranya Jajaran Jalan Menghubung­kan Bukit Kayu Hitam-kastam Sadao; Kompleks Imigresen serta Kastam dan Kuarantin (CIQ).

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga membincang­kan isu dan kaedah memperkuku­h sekuriti makanan serta kesan gangguan rantaian bekalan susulan pandemik COVID-19, khususnya membabitka­n Malaysia-thailand, selain bersetuju agar agensi dan kementeria­n berkaitan bekerjasam­a bagi memastikan ia sentiasa stabil.

“Hasil semua perbincang­an yang memerlukan kerjasama antara kementeria­n dan/atau antara agensi akan disampaika­n dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Selain itu, Prawit dan saya juga memperbaha­rui komitmen untuk menyokong semua usaha kerjasama erat, sama ada dalam rangka kerja sub-serantau, dua hala dan/atau pelbagai hala,” katanya.

Dalam pertemuan yang berlangsun­g selama sejam itu, Hishammudd­in turut mengarahka­n Muez mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bagi meningkatk­an kerjasama dan kesiapsiag­aan ketenteraa­n, sekali gus memperheba­t keupayaan pertahanan serantau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia