Berita Harian

Pengguna terus mengeluh

- Oleh Ercy Gracella Ajos bhnews@bh.com.my

Peniaga elak rugi, dakwa pembekal kenakan harga tinggi

Kuala Lumpur: Pengguna mengeluh menanggung beban kos semakin tinggi akibat terkesan dengan kenaikan bukan saja harga ayam yang berdepan krisis bekalan ketika ini tetapi juga ikan dan sayur-sayuran.

Hasil tinjauan di Pasar Pudu, di sini, semalam, mendapati peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga bahan mentah berkenaan bagi mengelak kerugian kerana memperoleh­nya pada harga tinggi daripada pembekal.

Pengunjung pasar, Nurhidayat­i Muslim, 53, berkata beliau amat terbeban dengan harga ayam yang melambung tinggi kini.

“Sebelum ini, saya membeli ayam pada harga sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram, tetapi sekarang sudah mencecah RM11 sekilogram.

“Ini sangat membebanka­n, lebih-lebih lagi saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Saya percaya mereka yang ada ramai anak dan keluarga besar, mesti lebih terkesan.

“Keadaan sekarang amat sukar. Bukan saja ayam, malah harga sayur-sayuran juga naik. Sebagai contoh, harga kacang panjang sudah mencecah antara RM11 hingga RM15 sekilogram,” katanya kepada BH.

Seorang peniaga ayam yang hanya

Isu ayam dan harga barang

mahu dikenali sebagai Nizam, 45, berkata krisis bekalan bahan mentah itu masih berlarutan dengan kebanyakan stok harian hanya dapat dijual kepada pelanggan tetap.

“Saya baru menaikkan harga ayam kepada RM11 sekilogram, Isnin lalu, kerana pembekal menjualnya pada harga RM9.80 sekilogram berikutan kekurangan stok.

“Dulu, saya biasa menerima bekalan antara 600 hingga 700 ekor ayam tetapi sekarang hanya memperoleh 200 hingga 300 ekor sehari,” katanya yang sudah berniaga sejak 30 tahun lalu.

Peniaga ikan, Salmi Ariffin, 50, juga mendakwa terpaksa menaikkan harga ikan kerana pembekal menaikkan harga.

“Stok ikan masih ada tetapi mengalami peningkata­n harga. Sebagai contoh, ikan pelaling yang dijual RM6 sekilogram sebelum ini, kini naik kepada RM10 sekilogram. Ikan tongkol hitam pula kini RM13 sekilogram berbanding hanya RM10.50 sekilogram sebelum ini,.

“Memang ada pembeli yang merungut tetapi mereka pun faham bukan kami saja-saja hendak menaikkan harga,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga sayur juga mengaku berlaku peningkata­n harga, termasuk bendi, kacang panjang, kailan dan sawi.

Sementara itu tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, mendapati jualan ayam masih mengikut harga siling ditetapkan, iaitu RM8.90 sekilogram.

Seorang pekerja pasar raya itu yang enggan dikenali berkata, bagaimanap­un hanya ada bekalan kira-kira 50 hingga 100 ekor ayam setiap hari dengan setiap pelanggan hanya dihadkan membeli dua ekor.

 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ?? Peniaga terpaksa menaikkan harga sayur ketika tinjauan di Pasar Pudu, semalam.
(Foto Aswadi Alias/bh) Peniaga terpaksa menaikkan harga sayur ketika tinjauan di Pasar Pudu, semalam.
 ?? ?? Nizam
Nizam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia